Sunday, July 14, 2013

825) UTUSAN MALAYSIA 13/7/13-Rakyat perlu dididik, beri pendedahan bahaya guna steroid



KUALA LUMPUR 12 Julai - Usaha mendidik dan memberi pendedahan berhubung bahaya penggunaan steroid kepada masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rakyat benar-benar faham dan mematuhi perkara tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, masyarakat terutamanya golongan muda memerlukan panduan serta bimbingan yang betul dalam memiliki bentuk badan yang menarik.

Jelasnya, ekoran kurangnya pendedahan berhubung bahaya dan kesan sampingan pengambilan ubat terkawal itu, golongan muda mengambil jalan singkat dengan mengambil steroid bagi memiliki bentuk badan yang diidamkan.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan mendidik serta memberi pendedahan tentang bahaya penggunaan steroid secara berlebihan dan tanpa kawalan.

"Perkembangan teknologi dan ilmu dalam bidang kesihatan tidak merumitkan. Jadi, gunakanlah medium laman sosial ataupun melalui edaran risalah bagi mendidik masyarakat," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berhubung segelintir pengunjung gimnasium terlibat dengan penyalahgunaan steroid.

Kelmarin Utusan Malaysia mendedahkan lebih 18,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia terdedah dengan ancaman kesihatan yang serius termasuk boleh membawa kematian gara-gara penggunaan steroid kerana hendak tampil menarik dan berotot.

Tambah Nadzim, Kementerian Kesihatan turut digesa mengambil langkah lebih agresif memandangkan ubat tersebut mudah diperoleh dengan harga semurah 50 sen bagi sebiji pil.

"Ini kerana steroid dengan mudah boleh didapati serta diseludup daripada pembekal luar dan kementerian perlu sentiasa memantau perkembangan tersebut dan mengenakan tindakan terhadap pengusaha yang degil mematuhi arahan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, penekanan lebih serius perlu dilakukan demi memastikan masyarakat tidak tertipu dengan pengusaha gimnasium yang hanya memikirkan soal keuntungan.

"Saya tidak menafikan sesetengah pengusaha gimnasium menggalakkan pengambilan steroid kepada pengunjungnya bagi mendapat maklum balas positif serta demi menjaga nama baik pengusahanya tanpa menerangkan kesan pengambilan tersebut dalam jangka masa panjang," katanya.

"Masyarakat diminta lebih peka terhadap label pada botol ubat serta tidak menerima cadangan untuk mengambil mana-mana ubat tanpa mendapat nasihat daripada doktor atau pakar," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130713/dn_08/Rakyat-perlu-dididik,-beri-pendedahan--bahaya-guna-steroid#ixzz2Z0HQqAwN © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL