Thursday, July 11, 2013

815) BERNAMA ONLINE 11 JULAI 20133-Perbelanjaan Berhemah Elak Risiko Berhutang



Oleh Nur Aimidiyana Zuher KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kegagalan individu merancang perbelanjaan secara berhemah terutama yang melibatkan penggunaan kad kredit boleh mengheret mereka kepada risiko bebanan hutang yang tinggi termasuk menjadi muflis, demikian menurut seorang perunding kewangan. Perunding Kanan Kewangan Hijrah Wealth Management Zulsaidi Redzwan berkata setiap perbelanjaan yang dikeluarkan perlu ditentukan mengikut kemampuan individu serta tidak memberi bebanan hutang kepada mereka.

Merujuk kepada laporan media baru-baru ini, 23 peratus daripada 90,807 peminjam yang dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (DMP) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi tempoh 2007 hingga 31 Mei lepas, merupakan golongan yang memiliki perancangan kewangan yang lemah. Kenapa tidak dapat mengawal perbelanjaan? Apakah barangan yang dibeli itu satu keperluan atau kehendak? Zulsaidi berkata tanpa membuat senarai perbelanjaan, seseorang individu akan mudah terjebak dengan penggunaan kad kredit secara berlebihan dan membuat pinjaman kewangan semata-mata untuk memuaskan keinginan serta kehendak peribadi.

"Rata-rata individu hari ini berbelanja mengikut nafsu terutama golongan bekerja makan gaji yang berasa selamat dan selesa kerana setiap bulan mereka akan memperoleh gaji bulanan. "Paling membimbangkan apabila seseorang itu memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana mereka mudah terdorong untuk membeli barangan mewah dan berjenama," katanya kepada Bernama. Zulsaidi berkata punca lain keberhutangan ialah kos perubatan yang tinggi dan kehilangan pekerjaan. Apakah langkah pengurusan perbelanjaan berhemah? Beliau mengesyorkan agar setiap individu menggunakan sistem sampul yang dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan kewangan secara lebih konsisten.

"Sistem sampul ini bertujuan membantu mengasingkan duit gaji yang ingin dibelanjakan mengikut bahagian perbelanjaan seperti membeli-belah, melancong, berhibur atau ketika dalam situasi kecemasan. "Cukup atau tidak cukup itu sahaja yang boleh dibelanjakan. Jika ada lebihan daripada gaji itu kita boleh jadikan simpanan," katanya.

Mengenai kadar hutang isi rumah di negara ini, Zulsaidi berkata Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal namun kerajaan perlu memantau agar isu ini tidak menjadi serius. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata semua pihak perlu memainkan peranan penting termasuk institusi keluarga bagi mendidik masyarakat merancang perbelanjaan berhemah. "Meskipun wujud pusat rujukan seperti AKPK, penglibatan sektor swasta perlu diperluaskan bagi membantu menyelesaikan masalah ini.

"Saya harap kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dapat menyediakan platform khusus seperti bimbingan dan nasihat kepada masyarakat berhubung kepentingan menguruskan perbelanjaan," katanya.

Nadzim berkata bimbingan itu tidak hanya memfokuskan kepada individu yang menghadapi masalah bebanan hutang sebaliknya boleh disertai mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan secara bijak.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Kad Kredit Suryamarlini Md Hazair berkata individu berusia 18 tahun dan mempunyai pendapatan tetap RM1,500 ke atas layak membuat pemohonan kad kredit namun bergantung kepada prosedur institusi kewangan berkenaan.

Katanya kebanyakan pemohon kad kredit tidak memahami syarat dan prosedur institusi kewangan, malah ramai antara mereka yang merungut, apabila caj lebih dikenakan akibat lewat membuat bayaran kad kredit.


"Jika kita hanya membayar pada bayaran minimum bil kad kredit menyebabkan hutang akan bertambah banyak sedangkan jumlah kad yang digunakan sudah melebihi daripada jumlah pinjaman dibenarkan," kata Suryamarlini yang bertugas di sebuah institusi kewangan swasta di ibu negara. Suryamarlini berkata tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu ingin memohon kad kredit namun pengguna mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan merancang perbelanjaan sebelum menggunakannya bagi mengelak bebanan hutang yang tinggi. -- BERNAMA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL