Friday, July 19, 2013

836) UTUSAN MALAYSIA 17/7/13-Apakah lagi penghinaan bakal menanti umat Islam?


KENAPAKAH penganut agama lain semakin berani menghina umat Islam?

Itulah persoalan yang bermain dalam fikiran kita dengan tercetusnya kontroversi terbaharu apabila pasangan, Alvin Tan dan Vivian Lee memuatkan gambar yang menghina Islam dalam Facebook mereka.

Kedua-dua bekas pelajar Universiti Nasional Singapura seakan-akan mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan'.

Mereka turut menulis yang seakan-akan menyindir iaitu: "Izinkan kami memperkenalkan cara kami memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara kaum-kaum Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini."

"Hak untuk menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan juga agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka puasa dan Salam Aidilfitri!"

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Pasangan berkenaan sebelum ini telah mendapat perhatian ramai apabila memuat naik gambar dan video aksi seks mereka di dalam blog.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu sidang media semalam menyatakan pasangan terbabit mungkin disiasat mengikut Akta Hasutan ekoran tindakan menyiarkan gambar di Facebook yang mengundang kemarahan orang Islam.

Selain Akta Hasutan, tambah beliau, pasangan terbabit juga boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman lebih rendah.

Kenyataan itu adalah sebagai komen terhadap langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil keterangan daripada kedua-dua mereka mengikut Seksyen 233 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-dua sekali.

Turut memberikan reaksi ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menegaskan, kes yang melibatkan pasangan terbabit harus ditangani mengikut Akta Hasutan atau di bawah Kanun Keseksaan, bukan setakat Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, beliau juga akan membangkitkan ketika mesyuarat Kabinet isu penghinaan terhadap kesucian agama Islam yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Kita menyambut baik kenyataan yang telah dibuat oleh Abdul Gani dan Ahmad Shabery berkenaan. Bagaimanapun kita berharap apa yang diungkap itu bukan sekadar untuk meredakan kemarahan umat Islam semata-mata, sebaliknya harus diteruskan di peringkat pendakwaan dan hukuman.

Selain itu, permohonan maaf pasangan terbabit yang disiarkan melalui YouTube tidak harus dijadikan alasan oleh pihak berkuasa untuk tidak mengambil sebarang tindakan.

Kebimbangan ini berasaskan pengalaman lampau yang menyaksikan pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu yang menghina Islam dan mengeluarkan kenyataan berbau perkauman walaupun setelah pihak polis dan SKMM selesai melakukan siasatan.

Antaranya, kes yang melibatkan, Wee Meng Chee atau Namewee yang memuat naik klip video mencerca dan menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor serta klip video Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan dan laungan azan Subuh.

Walaupun dalam kes klip video yang menghina pengetua itu, Namewee disahkan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia tetapi pendakwaan tidak dibuat dengan alasan mangsa tidak tampil sendiri untuk membuat aduan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas lepasan universiti di Taiwan itu.

Akta Hasutan pula tidak dikenakan dengan alasan klip video yang dihasilkan Namewee itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada kaum Melayu sahaja malah turut mengguris hati rakyat Malaysia keseluruhannya yang berbilang kaum.

Dalam kes lain, hukuman ringan iaitu denda RM2,000 telah dikenakan terhadap tiga remaja yang menyimbah cat dan membaling botol arak di sebuah surau di Sikamat, Negeri Sembilan pada 2010 walaupun pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, ibu bapa ketiga-tiga remaja terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas keterlanjuran anak mereka.

Bagi Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad yang bimbang dengan trend penghinaan terhadap umat Islam yang semakin menjadi-jadi, pihak berkuasa harus bertindak tegas bagi memastikan ia tidak berterusan.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang cuba menjadikan kesucian Islam sebagai bahan permainan mereka perlu dihukum.

"Mereka bukan sahaja perlu diberi amaran tetapi dikenakan tindakan keras kerana perbuatan melampau ini tidak boleh diterima oleh umat Islam.

"Tindakan tegas ini amat perlu sebagai pengajaran kepada pihak-pihak yang bertindak secara sangat kurang ajar dengan niat untuk menguji umat Islam," katanya.

Menurut Ismail Mina, selain pendekatan undang-undang, kerajaan juga perlu memperkenalkan satu mekanisme tapisan bagi menghalang media sosial disalahgunakan.

Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, tindakan pihak yang menyalahgunakan kebebasan bermaklumat di Malaysia adalah merupakan racun kepada kemakmuran negara.

Katanya, tindakan pihak berkenaan sekiranya tidak dibendung boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan keagamaan.

"Saya bimbang keadaan akan semakin parah sehingga mencetuskan perpecahan perpaduan pelbagai kaum dan agama di negara ini," katanya.

Sama-samalah kita menunggu adakah pihak berkuasa akan memenuhi janji mereka untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pasangan terbabit.

Jika mereka dibebaskan dengan alasan meminta maaf sudah mencukupi, satu gerakan massa perlulah dibuat oleh umat Islam untuk memperbetulkan keadaan.

Kenapakah kita harus bersabar dan bersikap sederhana jika pihak lain tidak segan silu untuk menyentuh sensitiviti agama umat Islam dan berusaha menjejaskan keharmonian negara?

Jika rakyat India boleh bangkit mendesak enam lelaki yang merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan dikenakan hukuman berat, kenapa kita tidak boleh melakukan perkara sama?



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130717/re_05/Minta-maaf-bukan-penyelesaian#ixzz2ZT3tnNNY © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...