Wednesday, December 8, 2021

6076) MENARA KUALA LUMPUR, MALAKAT MALL BERI SOKONGAN - SINAR HARIAN - 08/12/2021

 

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Program bual bicara Kompas On The Go dan Kafe Rasuah Busters edisi khas akan bersiaran secara langsung di dua lokasi terkemuka di Lembah Klang.

Edisi khas Kafe Rasuah Busters akan bersiaran secara langsung di Menara Kuala Lumpur pada jam 8 malam, Khamis (9 Disember) manakala Kompas On The Go akan diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya pada jam 3 petang, Jumaat (10 Disember).

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL), Ainol Shaharina Sahar berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk menyediakan tapak lokasi bagi program Kafe Rasuah Busters yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

Kata beliau, menjadi satu kebanggaan buat Menara Kuala Lumpur untuk menjadi penaja bersama program yang disiarkan secara langsung di semua rangkaian media sosial Rasuah Busters dan Sinar Harian pada malam Khamis.

Menurutnya, kerjasama yang diberikan itu adalah sokongan penuh pihak pengurusan dalam menjayakan misi pasukan Rasuah Busters dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada seluruh masyarakat.

"Kami di pihak Menara Kuala Lumpur amat berbesar hati serta menyokong penuh atas usaha pihak Rasuah Busters dalam menganjurkan program yang dilihat sangat penting ini.

Edisi khas Kafe Rasuah Busters akan bersiaran secara langsung di Menara Kuala Lumpur pada jam 8 malam Khamis ini.
Edisi khas Kafe Rasuah Busters akan bersiaran secara langsung di Menara Kuala Lumpur pada jam 8 malam Khamis ini.

"Ia menjadi inisiatif kita bersama dalam menyelamatkan masa depan negara daripada terus dibelenggu masalah rasuah yang semakin berleluasa serta dapat memberikan lebih kesedaran tentang bahaya rasuah demi keamanan Malaysia.

"Untuk itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Rasuah Busters kerana sudi memilih Menara Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi siaran langsung bagi Kafe Rasuah Busters sempena Konvoi #RasuahBusters," katanya pada Selasa.

Kafe Rasuah Busters akan bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff membicarakan tajuk 'Dari Tabung Haji Ke Gerai Pok Nik.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Malakat Eco Group, Adzharudin Mohd Noor berkata, pihaknya sangat bersetuju dengan perjuangan Rasuah Busters memerangi rasuah dan menyampaikan mesej antirasuah agar perbuatan terkutuk ini lenyap dari bumi bertuah Malaysia.

Ajaran Islam

Katanya, jutaan terima kasih kepada Sinar Harian kerana sudi untuk menggunakan Malakat Mall sebagai platform untuk menyebarkan kebenaran dan mengajak orang ramai membenci perbuatan keji itu.

Jelas beliau, Malakat Mall sendiri adalah sebuah pusat membeli belah berteraskan Islam, malah berusaha untuk mengaplikasikan sunnah dari semua sudut, baik dalam perniagaan mahupun dipersekitaran luar.

"Sudah tentu kami akan membuka ruang kepada siapa sahaja yang berminat untuk menggunakan ruang kami bagi menyebarkan kesedaran tentang bahaya dan dosa rasuah.

"Kami di Malakat Mall akan menyokong apa jua usaha untuk membenteras apa jua salah laku yang merosakkan anak bangsa kita, apatah lagi kesalahan rasuah yang semakin menebal dalam kalangan masyarakat," tegasnya.

Tambah beliau, seluruh umat Islam seharusnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan mengikuti perintah Allah serta menjalani kehidupan Rasulullah dan para sahabat.

Menurutnya, ajaran Islam telah memberi peringatan tentang bahaya rasuah seperti mana dari petikan surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.”

Menurut Adzharudin, 'Angkara Rasuah, Bisnes Tak Berkat' adalah satu perkara yang penting untuk diperbahaskan dan wajar dikongsi bersama masyarakat.

Jelas beliau lagi, sebagai orang Islam, seharusnya kita berniaga bukan kerana mencari keuntungan sebaliknya adalah untuk mencari keberkatan.

"Bila kita dapat keberkatan daripada perniagaan, keuntungan itu secara automatik akan datang dari arah yang kita tidak jangkakan.

"Untuk itu, Malakat Mall bersedia untuk dijadikan platform kepada agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) demi untuk membanteras rasuah.

"Mari bersama kita hapuskan budaya rasuah yang semakin menyesakkan kehidupan kita semua," katanya.

Dalam pada itu, pemangku Ketua Unit Rasuah Busters, Asmaliza Mansor berkata, Malakat Mall, Cyberjaya bersetuju menaja lokasi program Kompas On The Go yang akan bersiaran secara langsung pada Jumaat ini.

Katanya, bual bicara yang bermula pada jam 3 petang itu akan membincangkan tajuk penting iaitu 'Angkara Rasuah, Bisnes Tak Berkat'.

Menurut Asmaliza, program berkenaan menampilkan Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengarah Global CX Sdn Bhd, Amirul Ikman Norden sebagai panel serta Norden Mohamed selaku moderator.

"Diharap program yang mendapat kerjasama daripada pihak Malakat Mall ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat terutama meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah.

"Jangan lupa saksikan Kafe Rasuah Busters dan Kompas On The Go secara langsung di platform media sosial Rasuah Busters dan Sinar Harian," katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

MENARA KUALA LUMPUR, MALAKAT MALL BERI SOKONGAN

https://www.sinarharian.com.my/article/176642/KHAS/Sinar-Rasuah-Buster/Menara-Kuala-Lumpur-Malakat-Mall-beri-sokongan

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL