Kerajaan diminta bertindak untuk menurunkan kembali harga ayam dan berhenti dari memberikan pelbagai alasan, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Pengerusi PPIM, Nadzim Johan berkata, harga ayam mentah di negara ini mula dikesan melonjak naik sejak Oktober lalu, malah pemborong dan peruncit seperti sudah merancang perkara ini kerana kenyataan mengenai kemungkinan harga ayam naik sehingga RM9.30 sekilogram mula dikeluarkan November lepas.
Beliau berkata walaupun sudah lama membelenggu rakyat, sehingga kini tidak ada tindakan proaktif dari pihak kerajaan yang menampakkan keberkesanan.
“Mungkin semua ahli politik sibuk berpolitik dan merebut kuasa sehingga lupa tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hanya ketika Pakatan Harapan mentadbir negara sahaja isu kenaikan harga ayam dan barangan keperluan tidak berbangkit hatta ketika sambutan hari perayaan ekoran kawalan yang dibuat oleh kerajaan ketika itu.
Nadzim berkata, kini perkara ini lebih merunsingkan apabila kenyataan penternak ayam yang mendakwa mereka tidak menaikkan harga ayam dan peruncit pula mendakwa harga ayam meningkat lebih 40 peratus sejak akhir-akhir ini.
“Siapa yang menaikkan harga ini? Di mana agensi-agensi kerajaan yang ditugaskan memantau harga barang dan menghapuskan orang tengah?” tegasnya.
Sehubungan itu, Nadzim mahu pihak kerajaan memberi satu penyelesaian yang berkesan dan hentikan memberi alasan yang tidak masuk akal.
“Alasan seperti ekonomi dunia tidak menentu, atau masalah supply-demand tidak seimbang tidak lagi relevan pada masa kini,” katanya.
Tambah beliau, rakyat amat terkesan dengan harga barang yang melonjak naik dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Sedangkan pendapatan rakyat masih di takuk yang sama, tiada perubahan dan kepimpinan kerajaan sudah bertukar tiga kali sejak Pilihan Raya Umum yang terakhir, tapi rakyat terus menderita,” katanya.
Artikel oleh: Malaysia Dateline
KAWAL HARGA, BUKAN BERI ALASAN, KATA PERSATUAN PENGGUNA KEPADA KERAJAAN
No comments:
Post a Comment