Saturday, December 4, 2021

6072) HARGA AYAM MELONJAK NAIK: PPIM MAHU KERAJAAN BERTINDAK, HENTI BERI ALASAN - SAMUDERA.MY - 03/12/2021

 

Harga ayam mentah di negara ini mula dikesan melonjak naik sejak Oktober lalu, malah pemborong dan peruncit seperti sudah merancang perkara ini kerana kenyataan mengenai kemungkinan harga ayam naik sehingga RM9.30 sekilogram mula dikeluarkan November lepas.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berkata walaupun sudah lama membelenggu rakyat, sehingga kini tidak ada tindakan proaktif daripada pihak kerajaan yang menampakkan keberkesanan.

“Mungkin semua ahli politik sibuk berpolitik dan merebut kuasa sehingga lupa tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nadzim berkata perkara ini lebih merunsingkan apabila kenyataan penternak ayam yang mendakwa mereka tidak menaikkan harga ayam dan peruncit pula mendakwa harga ayam meningkat lebih 40 peratus sejak akhir-akhir ini.

“Siapa yang menaikkan harga ini? Di mana agensi-agensi kerajaan yang ditugaskan memantau harga barang dan menghapuskan orang tengah?” tegasnya.

Sehubungan itu, Nadzim mahu pihak kerajaan memberi satu penyelesaian yang berkesan dan hentikan memberi alasan yang tidak masuk akal.

“Alasan seperti ekonomi dunia tidak menentu, atau masalah supply-demand tidak seimbang tidak lagi relevan pada masa kini,” katanya.

Tambah beliau, rakyat amat terkesan dengan harga barang yang melonjak naik dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Sedangkan pendapatan rakyat masih di takuk yang sama, tiada perubahan dan kepimpinan kerajaan sudah bertukar tiga kali sejak Pilihan Raya Umum yang terakhir, tapi rakyat terus menderita,” katanya.

Artikel oleh: Samudera.my

HARGA AYAM MELONJAK NAIK: PPIM MAHU KERAJAAN BERTINDAK, HENTI BERI ALASAN

https://www.samudera.my/harga-ayam-melonjak-naik-ppim-mahu-kerajaan-bertindak-henti-beri-alasan/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL