“KEADAAN tidak menghalalkan cara dan prinsip agama Islam perlu sentiasa dipegang walau di mana umatnya dan apa yang dilakukan mereka.”
Ingatan ini ditegaskan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengulas jenayah curi barang-barang keperluan harian, wang tunai dan harta benda oleh orang ramai ketika bencana banjir melanda hampir seluruh negara sejak Sabtu lalu.
Justeru katanya, para pengguna kalangan Muslim terutamanya digesa menjauhi penyalahgunaan keadaan kecemasan atau terdesak itu atau ibarat ‘menangguk ikan di air keruh’.
Namun kepada mereka yang benar-benar terdesak dan terpaksa mengambilnya demi kelangsungan hidup terutama anak-anak katanya, “yang terambil barang-barang ini, esok-esok gantilah balik.
“Kita berpegang kepada akhlak kita, biar orang hormat kita atas akhlak kita,” katanya kepada BebasNews selepas membuat pelepasan penghantaran bantuan bekalan kepada mangsa banjir di Shah Alam di ibu pejabat PPIM, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.
Selain PPIM, turut menjalankan misi murni kemanusiaan ini ialah Persatuan Amal Santuni Kasih Kuala Lumpur dan Selangor serta Adventure Touring Motorsports (ATMS) yang bergerak dari Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Sebanyak 200 kotak barang keperluan seperti makanan dan minuman, alat-alat mencuci dan membersih, kelengkapan rumah dan pakaian yang dianggarkan bernilai antara RM30,000 hingga RM50,000 dibawa ATMS bersama tiga bot dalam penghantaran kepada mangsa-mangsa banjir.
“Kami datang membantu dengan 40 pacuan empat roda (4×4) dan antara 60 hingga 80 kru sukarelawan. Kami harap bekalan ini dapat menampung keperluan kelangsungan hidup mereka dalam seminggu dua ini.
“Kebanyakannya datang dari Pulau Pinang dan selebihnya dari Kedah dan Perak. Jumlah kru sukarelawan kami bertambah apabila ada yang menyertai pada saat-saat akhir,” kata ketua delegasi ATMS, Muhd. Arashid Ramli.
Sementara itu Nadzim menggesa agensi-agensi berkaitan bencana dan penyelamatan agar bertindak pantas menjawab atau memberikan reaksi kepada aduan-aduan mangsa-mangsa banjir ini yang menghubungi mereka.
“Kami dapat aduan bahawa bantuan agensi-agensi ini lambat sampai dan mungkin berlaku pada masa hadapan.
“Ada juga panggilan telefon mangsa hanya dijawab mesin rakaman sedangkan kalaulah ada pihak berkenaan yang menjawabnya, mungkin hati mangsa-mangsa ini lapang sedikit walaupun bantuan belum datang,” katanya yang turut mesra disapa Toqqi.1 of 2
PPIM selain itu menyeru mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain atau individu-individu yang mahu menghulurkan bantuan, mengutamakan barang-barang makanan segera atau mudah disiapkan mahupun air bersih.
“Kita perlu prihatin bahawa mangsa-mangsa ini tiada alat atau kelengkapan dapur untuk memasak (jika diberi barang makanan mentah) malah jarak penghantaran bantuan bekalan itu jika menggunakan bot, agak jauh daripada biasa.
“Kami harap banyaklah juga syarikat atau pemain industri makanan dan minuman ready to eat (siap segera dimakan) ini turut tampil membantu.
“Ada tempat yang hendak dituju dan dipunggah muatan bekalan ini hanya sejauh 2 atau 3 kilometer namun hendak sampai ke sana dengan bot perlukan sehingga dua jam,” katanya.
Artikel oleh: Bebas News
BANJIR TIDAK HALALKAN MENCURI, GANTI BALIK JIKA TERDESAK - NADZIM PPIM
https://bebasnews.my/2021/12/21/banjir-tidak-halalkan-mencuri-ganti-balik-jika-terdesak-nadzim-ppim/
No comments:
Post a Comment