Friday, December 24, 2021

6128) DPMM KENAL PASTI PENIAGA, USAHAWAN KECIL TERJEJAS BANJIR - SINAR HARIAN - 24/12/2021

 

JOHOR BAHRU - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan mengenal pasti ahlinya yang juga usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Naib Presiden DPMM, Muhammed Farhan Basheer berkata, usaha itu bagi membolehkan bantuan pasca banjir berupa khidmat pembersihan dan barangan keperluan asas disalurkan pada Januari depan.

Menurutnya, sebagai permulaan pihaknya akan mengenal pasti ahli-ahli terjejas di Selangor dan Negeri Sembilan terlebih dahulu kerana melihat daripada keadaan serius yang berlaku di dua negeri berkenaan.

"Mereka ini kita akan bantu untuk bantuan fasa kedua yang mana melibatkan barangan peralatan pembersihan dan kelengkapan keperluan asas, seperti peti ais dan dapur.

"Bantuan ini juga bukan hanya tertumpu kepada ahli semata-mata, penduduk dan orang ramai yang terjejas juga akan dibantu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM200,000," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bantuan Kecemasan Mangsa Banjir anjuran DPMM, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Larkin di sini pada Khamis.

Muhammed Farhan berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 10,000 ahli DPMM di seluruh negara yang mana sebahagian besar mereka adalah pengusaha PKS dan usahawan mikro.

Dalam pada itu, mengulas mengenai misi bantuan kecemasan yang dilakukan, beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan bantuan berupa peralatan mencuci, makanan dan kain bersih dengan nilai keseluruhan sebanyak RM100,000.

"Kita ada sediakan peralatan mencuci, sabun basuh, makanan, kain dan juga sejadah kepada mereka yang terjejas. Untuk program kali ini kita juga akan hantar ke Jelebu (Negeri Sembilan) dan Hulu Langat (Selangor).


Artikel oleh: Sinar Harian

DPMM KENAL PASTI PENIAGA, USAHAWAN KECIL TERJEJAS BANJIR

https://www.sinarharian.com.my/article/179523/EDISI/DPMM-kenal-pasti-peniaga-usahawan-kecil-terjejas-banjir

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...