Monday, December 13, 2021

6097) PPIM DAKWA BAHAN DALAM UJIAN SARINGAN COVID-19 BOLEH AKIBATKAN KANSER - MAJORITI - 11/12/2021

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius dan membantah penggunaan ujian saringan atau swab test Covid-19 yang mengandungi Ethylene Oxide.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, PPIM menjelaskan bahawa Ethylene Oxide adalah sejenis gas beracun yang dibuktikan boleh menyebabkan penyakit kanser seperti leukimia dan limfoma.

PPIM mendakwa, banyak kajian telah dilakukan dan terbukti bahawa bahan berkenaan sering mengancam nyawa dan amat membahayakan para pekerja dalam industri kimia.

"Bahan ini digunakan sebagai pensteril untuk swab test Covid-19. Menurut beberapa kajian, Ethylene Oxide adalah satu bahan yang paling mudah menyebabkan kanser dan mampu merosakkan DNA," katanya.

Justeru, PPIM menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mendedahkan tatacara atau protokol penggunaan bahan terbabit dalam ujian saringan Covid-19, selain memberi jaminan ia selamat kepada pengguna.

Pada masa sama, katanya, para pengguna juga terdedah kepada bahan itu, sekiranya prosedur berkenaan dilakukan dengan kecuaian dan ketidakmahiran kakitangan perubatan.

"Sekiranya KKM gagal untuk berbuat demikian, maka kami menganggap KKM sedang menyembunyikan fakta penting dalam kaedah ujian Covid-19 ini.

"... dan berharap KKM mencari kaedah lain yang lebih selamat serta lebih berkesan untuk rakyat Malaysia," tegasnya.


Artikel oleh: Majoriti

PPIM DAKWA BAHAN DALAM UJIAN SARINGAN COVID-19 BOLEH AKIBATKAN KANSER

https://majoriti.com.my/berita/2021/12/11/ppim-dakwa-bahan-dalam-ujian-saringan-covid-19-boleh-akibatkan-kanser

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...