Tuesday, December 28, 2021

6142) AH LONG SASAR MANGSA BANJIR - KOSMO - 27/12/2021

 

SHAH ALAM – Kesengsaraan mangsa banjir di sekitar Lembah Klang yang kehilangan harta benda membuatkan golongan tersebut kini menjadi sasaran sindiket ah long yang memasang jerat memberikan pinjaman.

Walaupun masih belum ada laporan rasmi dibuat, beberapa persatuan pengguna ada me­nerima maklumat daripada mangsa banjir bahawa mereka didekati konco-konco lintah darat tersebut yang turut turun padang ko­nonnya mahu memberi bantuan.

Jika tersilap langkah, jerat yang dipasang pasti akan me­ngena lebih-lebih lagi proses pe­nyaluran bantuan kewangan dan barangan lambat tiba kepada kumpulan sasar.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, dakwaan itu berasas apabila ada mangsa banjir mendakwa mula didekati ah long ketika memberi bantuan di Klang, Taman Sri Muda, Shah Alam dan TTDI Jaya baru-baru ini.

Katanya, selain bersemuka, sindiket turut menghubungi mangsa banjir dengan me­nyamar sebagai agensi tertentu.

“Ah long kini aktif kerana tahu ramai terdesak susulan rumah, kereta dan harta benda banyak rosak.

“Sekiranya bantuan lambat disalurkan, kita tidak nafikan golongan itu akan terus menjadi mangsa keadaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

DR. JACOB
NADZIM

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan sama ada terdapat mangsa yang telah mene­rima ‘bantuan’ tersebut.

Menurut Jacob, situasi tersebut adalah normal kerana ­mangsa ketika ini ingin meneruskan semula kehidupan, mana­kala ah long mahu mencari bisnes.

“Satu pasukan khas perlu ditubuhkan segera supaya tiada orang boleh mengambil kesempatan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan turut mengakui menerima maklumat kehadiran ah long, namun tiada aduan rasmi dibuat.

Tegas beliau, sindiket ah long dan mereka yang men­dakwa mengutip sumbangan bagi ­mangsa banjir sentiasa mencari peluang ketika ini.

“Orang (mangsa banjir) mana boleh tunggu sehari atau dua hari pun, mereka sudah hilang kesemuanya, jadi mohon ban­tuan disegerakan.

“Ramai sudah terdesak dan ah long pula yang kita tahu prosedur nya cepat dan mudah,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan pada ketika ini mangsa banjir tidak mengetahui sama ada orang yang mengunjungi mereka adalah benar ingin membantu atau sebaliknya.

“Kadang-kadang mangsa banjir tidak berdaya disebabkan sedih. Jadi, mereka akan tanda­tangan sahaja bagi mendapatkan wang tanpa sedar itu adalah ah long.

“Justeru, pihak penguat kuasa perlu lebih giat memantau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan-kawasan yang kini dalam pasca banjir,” jelasnya.


Artikel oleh: Kosmo

AH LONG SASAR MANGSA BANJIR

https://www.kosmo.com.my/2021/12/27/ah-long-sasar-mangsa-banjir/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...