Friday, December 31, 2021

6158) BEZAKAN PERATURAN SEOLAH JEMAAH UMRAH 'PENJENAYAH' - ISMAWEB - 30/12/2021

 

BANGI, 25 Jamadilawal 1443H, Khamis – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengecam langkah Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan peranti pengesanan digital kepada pengembara yang pulang dari Arab Saudi selepas melakukan ibadah umrah.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya telah menerima pelbagai reaksi dan rungutan dari pelbagai pihak mengenai peraturan yang berbeza ke atas mereka yang kembali dari luar negara.

“Peraturan sebegini seolah-olah mereka yang baru pulang dari Makkah adalah penjenayah yang menjalani perintah sekatan manakala mereka yang pulang dari melancong sebagai rakyat yang diringankan hukumannya.

“Keadaan di Makkah atau London atau di mana-mana sahaja semuanya telah terdedah kepada virus COVID-19 atau varian terbaharunya, Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan sama ada arahan berbeza ini menunjukkan bahawa mereka yang pulang dari menunaikan ibadat menjadi lebih rentan daripada mereka yang pulang dari melancong.

Nadzim turut tertanya-tanya sama ada pihak badan kesihatan dunia seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Arab Saudi sebagai negara yang mempunyai kadar jangkitan Omicron yang tinggi.

“Saya menyeru kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya menghentikan lakonan ini dan berpijak di bumi nyata serta tidak membeza-bezakan layanan terhadap rakyat yang pulang ke negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, individu yang pulang selepas menunaikan umrah wajib memakai gelang pengesan digital dan menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari.

Beliau berkata, arahan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Disember lalu adalah kes import dari Arab Saudi.


Artikel oleh: Ismaweb

BEZAKAN PERATURAN SEOLAH JEMAAH UMRAH 'PENJENAYAH'

https://ismaweb.net/2021/12/30/bezakan-peraturan-seolah-jemaah-umrah-penjenayah/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...