Tuesday, December 21, 2021

6125) KERAJAAN PERLU ATUR LANGKAH EFEKTIF ATASI BANJIR - PPIM - GETARAN - 21/12/2021

 

KUALA LUMPUR - Kerajaan harus mengatur langkah yang lebih efektif bagi menangani masalah banjir, berbanding menumpukan kepada meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan dos penggalak.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, negara kini berada dalam keadaan huru hara akibat banjir berkenaan yang disifatkan terburuk pernah melanda Selangor dan Lembah Klang sejak 11 tahun lalu.

"Negara kita menjadi huru-hara akibat banjir, termasuk yang mencecah paras bumbung di sesetengah kawasan. Ia masalah cukup besar dihadapi rakyat ketika ini.

“Ia terlalu buruk sehingga ada segelintir mangsa terpaksa berlindung di atas bumbung rumah kerana bantuan yang terlalu lewat diterima,” katanya.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

Nadzim menyatakan demikian pada sidang media selepas penyampaian sumbangan berupa 300 kotak barangan dapur, 100 kit barangan wanita dan 200 pek makanan serta minuman khusus untuk mangsa banjir di Selangor.

Ia adalah hasil kerjasama Pertubuhan Amal Santuni Kasih dan Restoran Mat Rock Ayam Goreng Kunyit.

“Setiap kotak barangan dapur itu bernilai RM80 dan mampu bertahan selama tiga hari untuk setiap penerima. Kami sepakat menghulurkan bantuan ini apabila melihat pergerakan kerajaan terlalu perlahan, dan aset disediakan pula tidak mencukupi.

"Banyak bantuan serta sumbangan perseorangan dan pihak NGO tidak sampai kepada mangsa kerana kekurangan jentera serta tiada bot yang mencukupi untuk menghantar sumbangan tersebut," ujarnya.

Sukarelawan misi banjir dari utara bersedia untuk membantu mangsa yang terkesan dengan banjir di Selangor, Sabtu lalu. - Azim Abd. Rahman
Sukarelawan misi banjir dari utara bersedia untuk membantu mangsa yang terkesan dengan banjir di Selangor, Sabtu lalu. - Azim Abd. Rahman

Dalam perkembangan berkaitan Nadzim berkata, Dana Pemulihan berjumlah RM100 juta, dengan setiap mangsa bakal menerima RM1,000 adalah terlalu kecil untuk memulihkan kediaman dan perniagaan yang musnah akibat bencana itu.

Katanya, mangsa di seluruh negara mungkin mencecah lebih 62,000 dan jumlah kerugian yang besar itu memerlukan dana sekurang-kurangnya RM1 bilion.

"Saya harap dana tersebut diberi secepat mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga beberapa bulan,” katanya.

Artikel oleh: Getaran

KERAJAAN PERLU ATUR LANGKAH EFEKTIF ATASI BANJIR - PPIM

https://www.getaran.my/artikel/semasa/16498/kerajaan-perlu-atur-langkah-efektif-atasi-banjir-ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL