KUALA LUMPUR: Penjualan kit ujian saringan kendiri (RTK) Antigen tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikesan dijual berleluasa perlu dibanteras kerana ia membabitkan isu keselamatan dan kesihatan pengguna.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata KKM melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) perlu memberi perhatian isu ini dengan melakukan pemantauan secara berkala.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan mudah dengan menjual RTK Antigen seludup atau tiruan di premis mereka.
Katanya, MDA turut disaran mewujudkan satu sistem ciri keselamatan seperti pelekat hologram di kotak produk bagi membolehkan pengguna memeriksa ketulenan dan kesahihan produk terbabit.
"Kita akui ramai pengguna tidak sedar kewujudan RTK Antigen seludup atau tiruan di pasaran dan atas sebab itu amat penting untuk pihak berkuasa melakukan tindakan pembanterasan.
"Ia termasuklah melakukan pemantauan berkala dan mewujudkan ciri keselamatan yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya.
"Kita perlu melindungi pengguna daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan tanpa melalui proses sah," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan beberapa RTK Antigen yang dipercayai tanpa kelulusan KKM dikesan dijual secara berleluasa di kedai serbaneka dan melalui portal e-dagang.
Lambakan produk tanpa kelulusan MDA di bawah KKM yang turut membabitkan produk seludup itu dikhuatiri boleh menyebabkan risiko penularan COVID-19 lebih meluas berikutan ketepatan keputusannya diragui.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata KKM perlu mendidik pengguna kewujudan RTK Antigen seludup dan tiruan di pasaran.
Beliau berkata, pengguna juga harus memainkan peranan dengan mendapatkan produk RTK Antigen disahkan MDA di premis dipercayai.
"Pengguna kebiasaannya tidak perasan dan kita mengharapkan mereka boleh memeriksa produk RTK Antigen namun proses pendidikan perlu diberikan kepada mereka.
"Pengguna perlu lebih berhati-hati dengan barang tiruan ini kerana kesannya akan ditanggung mereka. Jangan mudah menggunakan produk tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
PANTAU PENJUALAN RTK ANTIGEN TIADA KELULUSAN MDA
No comments:
Post a Comment