PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius terhadap cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Pindaan Akta 342 itu adalah untuk menaikkan denda bagi kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka atau tidak mengamalkan penjarakan sosial; dan tidak memakai pelitup muka atau tidak mengamalkan penjarakan sosial.
Selain itu, tindakan terlibat dalam acara-acara yang dilarang yang melibatkan perkumpulan orang ramai dan sesak juga termasuk dalam kesalahan tersebut.
“Di bawah pindaan ini, KKM meminda agar bagi individu yang melanggar perintah di bawah Akta ini, dendanya akan dinaikkan dari RM1,000 kepada RM100,000 manakala bagi syarikat korporat sehingga RM2 juta.
“PPIM menganggap pindaan terhadap akta ini adalah amat keterlaluan dan bakal memberikan impak yang amat besar kepada rakyat yang baru sahaja mampu menghela nafas lega setelah hampir semua aktiviti dibuka.
“Kegiatan ekonomi yang membolehkan sebahagian besar rakyat menyesuaikan norma baharu ini akan menghimpit kembali keadaan mereka,” kata PPIM dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut PPIM, sebagai manusia biasa, pelanggaran undang-undang itu akan berlaku juga dalam keadaan tertentu, samada sengaja atau tidak disengajakan, atau berada dalam keadaan terpaksa.
Tambahnya, jika pihak penguatkuasa gagal menggunakan pertimbangan yang wajar dan bersikap mencari-cari kesalahan orang, maka ramai yang akan berdepan masalah apabila pindaan akta itu dilaksanakan.
“PPIM menyeru agar kerajaan tidak mengambil pendekatan yang berbaur ‘draconian’ ini yang bakal mengundang padah tetapi sebaliknya lebih mengambil langkah mendidik rakyat dengan bijaksana,” tegasnya.
Artikel oleh: Sumberkini
PINDAAN AKTA 342: PPIM SERU KERAJAAN TIDAK AMBIL PENDEKATAN 'DRACONIAN'
https://sumberkini.my/pindaan-akta-342-ppim-seru-kerajaan-tidak-ambil-pendekatan-draconian/
No comments:
Post a Comment