Wednesday, May 28, 2014

1946) ABN NEWS - Tarik balik sijil halal jika pengeluar tidak patuhi peraturan – Aktivis pengguna


KUALA LUMPUR — Tarik balik sijil halal, hantar sampel setiap bulan dan penyiasatan serta penguatkuasaan lebih tegas adalah antara tindakan yang dicadang persatuan pengguna terhadap pengeluar dan peniaga yang mengambil kesempatan menjual produk mengandungi bahan tidak halal kepada umat Islam.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata isu pengeluar dan peniaga menjual produk mengandungi bahan haram bersama produk halal perlu dipandang serius kerana ia melibatkan 60 peratus pengguna Islam negara ini.
“Kita minta pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), supaya sentiasa memantau produk yang diberi sijil halal kerana ada pengeluar membawa produk yang sama mengandungi bahan tidak halal.
“Terdapat pengeluar mengimport produk sama yang tidak halal tetapi dijual bersama dengan produk sama keluaran tempatan yang halal di pasar raya, dicop pula dengan sijil halal, sedangkan sepatutnya diasingkan di tempat produk tidak halal.
“Jika begini tarik sahaja sijil halal mereka,” katanya hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar pengeluar memberi sampel produk secara berkala bagi mengelak mereka memasukkan bahan tidak halal ke dalam produk selepas mendapat sijil halal Jakim.
“Bila Jakim sudah beri sijil halal dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dah sahkan tiada bahan terlarang, tetapi ia tidak boleh berhenti di situ sahaja, kerana ada pengeluar menggunakan pelbagai taktik untuk menipu.
“Justeru penguatkuasaan dan penyiasatan itu perlu dilakukan secara berterusan supaya pengguna yang tidak tahu apa-apa tidak menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia(Fomca) Prof Hamdan Adnan berkata isu tersebut perlu ditangani dengan peraturan lebih tegas.
“Sebagai contoh denda yang dikenakan bagi kesalahan mencampur bahan halal dengan haram (Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, yang memperuntukkan denda RM5 juta hingga RM10 juta perlu dinaikkan lagi supaya memberi pengajaran kepada mereka.
“Selain itu, pelaksanaan akta ini perlu dilakukan dengan lebih tegas dan kerap, bukan hanya sekadar mendengar laporan, menyiasat, kemudian senyap, tiada tindakan lanjut,” katanya.
Selain itu beliau mencadangkan agar pengeluar tidak dibenar membawa masuk produk import jika produk yang sama dikeluarkan oleh kilang tempatan.
“Terdapat produk yang dikeluarkan kilang tempatan dan diimport, jika produk tempatan telah ada, pengeluar ini patut tidak dibenarkan bawa masuk produk sama dari luar.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...