Thursday, May 22, 2014

1919) HARIAN METRO 22/05/2014 - MUSLIHAT SIJIL HALAL



Headline: MUSLIHAT SIJIL HALAL
Publication: HM
Date of publication: May 22, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik program seminar keusahawanan dan berbekalkan penampilan meyakinkan, seorang lelaki bergelar Datuk dipercayai sudah mengaut lebih RM100,000 dengan mengeluarkan sijilhalal palsu.

Kelompok sasaran yang menjadi mangsa lelaki berusia 50-an itu ialah pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga makanan di luar bandar yang naif mengenai proses mendapatkan sijil berkenaan.

Seorang mangsa mahu dikenali sebagai Khatijah, 38, berkata, dia tertarik untuk menyertai seminar dianjurkan lelaki itu selepas diberitahu setiap peserta diberi sijil halal kononnya dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Seminar itu berlangsung di Slim River, Perak pada pertengahan April lalu dengan 100 peserta yang kebanyakannya pengusaha IKS atau peniaga makanan.

"Dalam ceramahnya, lelaki itu mendakwa dia mendapat kebenaran daripada JAKIM untuk mengeluarkan sijil halal atas nama pertubuhannya," katanya yang ditemui Harian Metro ketika membuat aduan kepada Pegawai Unit Halal Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) Abdul Aziz Ismail.

Menurut Khatijah, pakej seminar yang ditawarkan lelaki membolehkan peserta mendapat sijil halal berharga RM250, RM500 dan RM600 untuk tiga peringkat iaitu pra, pertengahan dan lanjutan.

"Selepas lengkap menghadiri tiga seminar itu, baru diberi sijil halal yang katanya eksklusif untuk usahawan beragama Islam saja," katanya yang mengusahakan kedai makanan di sini.

Wanita itu sudah menghadiri dua peringkat seminar dan membuat bayaran RM750, namun belum menyertai peringkat terakhir kerana belum cukup duit.

Apabila Khatijah menceritakan hal ini kepada seorang rakan, dia diminta menyemak dengan pihak berwajib mengenai kesahihan sijil halal dikeluarkan lelaki itu.

Rakannya mengatakan tiada mana-mana pihak yang diberi kebenaran oleh JAKIM untuk mengeluarkan sijil halal.

"Selepas itu barulah saya sedar yang sijil dikeluarkan adalah palsu. Saya bersama semua peserta seminar dianjurkan lelaki berpangkat Datuk itu sebenarnya ditipu," katanya,

Sehubungan itu, Khatijah berharap lebih ramai mangsa tampil membuat aduan mengenai penipuan lelaki itu kepada pihak berkuasa supaya tiada pengusaha IKS atau peniaga lain menjadi mangsa berikutnya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya Datuk itu aktif melakukan kegiatan penipuan sekitar enam bulan lalu.

"Berdasarkan siasatan, kita mengesyaki 100 usahawan yang menyertai ceramah itu sudah diperdaya dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM100,000.

"Modus operandi lelaki berkenaan ialah mendapatkan peniaga yang baru berkecimpung dalam perniagaan sebelum menawarkan diri kononnya dia diiktiraf mengeluarkan sijil halal yang sah," katanya.

Menurutnya, sijil dan logo halal itu dipercayai dibuat sendiri dengan tertera perkataan 'Muslim' dalam tulisan rumi di tengah logo.

"Kami menggesa JAKIM mengambil tindakan bagi mengelak ratusan peniaga lagi tertipu dengan helah Datuk berkenaan yang dipercayai mahu mengaut keuntungan mudah," katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...