Saturday, May 3, 2014

1879) BERITA HARIAN 3/5/2014 - MUDAH PERCAYA 'ORANG ALIM' PUNCA RAMAI TERTIPU DENGAN AGENSI UMRAH


KUALA LUMPUR: Mudah percaya kepada perwatakan orang alim dan teruja untuk berkunjung ke tanah suci Makkah menyebabkan ramai umat Islam di negara ini mudah menjadi mangsa penipuan sindiket umrah. 

Menurut statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, sebanyak 1,826 kes dengan kos kerugian melebihi RM10 juta berhubung penipuan pakej umrah dilaporkan sejak tahun 2010 sehingga tahun lalu. 


Malah kebimbangan itu turut dibangkitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam khutbah Jumaat semalam bertajuk "Taqwa asas keluhuran pekerja" berhubung urusan yang membabitkan ibadah pun tidak sunyi daripada gejala tidak bermoral, seperti kes penipuan dalam pakej pelaksanaan ibadah umrah. 


Untuk itu, pelbagai pihak menasihati umat Islam supaya berhati-hati memilih agensi untuk mengendalikan urusan mengerjakan umrah. 

Menurut Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah, yang banyak mengendalikan pakej umrah dan haji, umat Islam perlu berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan agensi yang tidak dikenali untuk menguruskan urusan ibadah ini. 

“Antara perkara mudah yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada ditipu adalah dengan memastikan agensi yang menawarkan perkhidmatan umrah diiklan di surat khabar,” katanya kepada BERNAMA. 

“Ini kerana kos untuk membeli iklan di surat khabar bukannya murah kerana ada masanya ia boleh mencecah ratusan ribu ringgit untuk setahun, selain nombor lesen perniagaan perlu disertakan. 
"Jika mereka (syarikat yang mengiklankan perkhidmatan itu) ini menipu, individu yang ditipu sudah pasti membuat laporan polis dan syarikat juga mudah dikesan kerana ada nombor perniagaan," katanya. 

Md Daud, yang menguruskan jemaah ke Makkah sejak 1975 turut mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah percaya kepada 'tawaran luar biasa' pakej umrah dengan tawaran harga yang terlalu rendah dengan alasan sebahagian kos ditanggung oleh 'orang kaya' yang mahu 'bersedekah'. 

"Pengusaha agensi umrah juga perlu berhati-hati. Kami juga pernah didatangi individu membuat bayaran muka RM300 seorang untuk 200 individu, dan apabila diminta membayar jumlah penuh RM4,900 seorang, kami diberitahu ada dermawan yang berjanji akan menanggung sebahagian kos," katanya. 

"Sedangkan tiada perjanjian perkara itu diberikan, dan sebagai jalan penyelesaian, kami pulangkan wang pendahuluan yang dibayar, kerana tidak mahu dianggap bersubahat dalam penipuan itu," katanya. 

Beliau kesal penipuan itu tetap berlaku setiap tahun walaupun kisah seumpamanya sering dihebahkan media, dan menyifatkan individu yang mengaut keuntungan dengan menipu dalam soal ibadah dilaknat Allah. 

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman menasihatkan orang ramai untuk melakukan penyelidikan berhubung agensi umrah yang mahu digunakan, termasuk menyemak harga pakej yang ditawarkan. 

"Jika diberikan diskaun RM200 boleh dianggap normal, namun jika harga terlampau murah, kita mesti ada sikap was-was kerana urusan pengangkutan, penginapan dan makan minum semuanya menggunakan wang," katanya. 

Beliau juga berharap supaya tribunal menjadikan aduan membabitkan kes penipuan sebagai keutamaan, selain memberikan hukuman yang berat untuk dijadikan pengajaran kepada mereka yang melakukan kegiatan sama. 

"Jika denda sudah tidak dapat memberi pengajaran, kita patut kenakan hukuman penjara kerana orang yang menipu dalam umrah ini mempermainkan imej agama kita," katanya. 

Maamor berkata, individu yang memiliki rekod melakukan kesalahan itu juga perlu dipantau dan disenaraihitamkan supaya tidak dapat menubuhkan sebuah syarikat baharu atau menggunakan nama individu lain yang berhubung kait dengannya. - BERNAMA

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...