Friday, May 16, 2014

1907) HARIAN METRO 16/5/2014 - ALONG SEMAKIN BIADAP


Headline: Along semakin biadab
Publication: HM
Date of publication: May 16, 2014
Section heading: Metro Plus
Page number: 013
Byline / Author: Oleh Adnan Ibrahim
Kluang: Iklan pinjaman wang tidak berlesen bukan saja mencacatkan pemandangan sesuatu kawasan malah pihak berkenaan turut mensasarkan kemudahan awam di sekitar pinggir bandar ini.

Tinjauan yang dilakukan mendapati setiap papan tanda arah, papan nama jalan dan tempat menunggu bas menjadi tempat ceti haram menampal iklan mereka sehingga mencemarkan imej bandar ini selain menimbulkan tanggapan yang tidak baik khususnya di mata pelancong.

Penduduk, Ahmad Hassan, 34, berkata, melihat kepada iklan ceti haram terbabit seolah-olah tiada sebarang tindakan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi menangani masalah itu.

"Gejala pinjaman wang haram yang sebelum ini reda seketika selepas tindakan agresif daripada pihak berkuasa kini dilihat kembali aktif mungkin merasakan pihak terbabit tidak lagi mengambil tindakan terhadap kegiatan mereka.

"Sebagai penduduk, saya amat mengharapkan pihak berkuasa terbabit dapat melaksanakan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap masalah ini," katanya.

Ahmad turut mengharapkan supaya kerja membuang dan menghapuskan iklan haram itu tidak dilaksanakan di sesuatu kawasan saja kerana hampir setiap taman dan taman perumahan serta perkampungan berdekatan bandar ini turut menghadapi masalah sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari ketika dihubungi berkata, tindakan daripada pihaknya tidak pernah berhenti bahkan dilaksanakan secara berterusan.

"Kami bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan untuk membuang semua iklan ceti haram terbabit bukan saja di dalam bandar ini namun turut membabitkan kawasan perkampungan dan taman perumahan dari semasa ke semasa.

"Namun, dalam masa sama, pihak polis amat mengharapkan kerjasama orang ramai tidak menggunakan jalan mudah untuk membuat pinjaman melalui khidmat ceti haram ini kerana terlalu banyak risiko bakal dihadapi," katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...