Monday, May 19, 2014

1910) NIB 18/05/2014 METRO AHAD - HUTANG KECIL, HUKUMAN BESAR


Headline: Hutang kecil, hukuman besar
Publication: MA
Date of publication: May 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Ikram Ismail
Kuala Lumpur: Graduan yang gagal memperoleh pekerjaan selepas disenarai hitam oleh syarikat rujukan kredit Credit Tip Off Sdn Bhd (CTOS) hanya kerana kegagalan menjelaskan RM50 antara bekas pelanggan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan talian jalur lebar tempatan.

Lebih memeranjatkan, sebilangan bekas pelanggan syarikat terbabit menerima surat menyatakan mereka terpaksa membayar semula bil walaupun pembayaran dibuat.

Seorang pengendali laman Facebook yang diwujudkan mengenai isu berkenaan, Mohd Rizuani Mohd Yahya, 39, berkata, dia menerima banyak aduan berkenaan syarikat penyedia perkhidmatan talian Internet terbabit.

"Setiap hari purata e-mel aduan diterima ialah lima dan saya salurkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan meminta mereka menghantar aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Sejak kebelakangan ini, banyak aduan diterima daripada bekas pelanggan yang terkejut kerana perlu membayar walaupun menjelaskan bil mereka dua tahun dulu," katanya yang juga bekas pelanggan yang ditamatkan perkhidmatan kerana kelantangannya.

Mohd Rizuani berkata, ada kes di mana pelajar gagal dalam permohonan mendapatkan pembiayaan pendidikan hanya kerana bil berjumlah RM74.

"Pelajar terbabit menjelaskan semua bil tetapi tidak tahu ada bil tambahan perlu dijelaskan. Dia hanya mengetahui disenarai hitam ketika permohonan pembiayaan pendidikan ditolak," katanya.

Mohd Rizuani berkata, SKMM sepatutnya melihat kes itu secara serius.

"Kenapa pihak pengendali itu boleh sesuka hati menambah syarat perjanjian bahawa pelanggan mereka boleh disenarai hitam. Ini seperti melanggar hak pengguna," katanya ketika ditemui di pejabat PPIM.

Mohd Rizuani berkata, laman Facebook di bawah kendaliannya kini mempunyai 23,000 ahli.

"Yang menyedihkan, hampir separuh daripada mereka adalah pelajar universiti yang masih gagal menjelaskan pembayaran kerana diikat kontrak 24 bulan.

"Kebanyakan mereka melanggan perkhidmatan ini kerana terpengaruh dengan promosinya. Malangnya selepas dua bulan, perkhidmatannya mengecewakan dan mereka terus tidak menggunakannya lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya meminta nasihat dengan pihak guaman.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan aduan diterima jika pihak penyedia Internet gagal menyelesaikan kemelut terbabit," katanya.

Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abdul Rahman pula berkata, pihaknya akan meneliti perkara ini.

"Isu ini adalah isu lama dan kita pernah ambil tindakan sebelum ini,"

katanya.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...