Monday, May 12, 2014

1899) UTUSAN MALAYSIA 12/5/2014 - SELARAS HARGA DIESEL IKUT PASARAN



Selaras harga diesel ikut pasaran dunia


KUALA LUMPUR 11 Mei - Kerajaan disaran menyelaraskan harga diesel mengikut pasaran antarabangsa bagi mengekang penyelewengan subsidi diesel khususnya melibatkan rakyat negara jiran.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali berkata, ini kera­na harga diesel di negara ini lebih murah berbanding negara lain menyebabkan penyelewengan subsidi diesel mudah berlaku.

Beliau berkata, segala penye­lewengan berkenaan subsidi diesel boleh diselesaikan jika harga diesel tempatan dapat diselaraskan mengikut harga pasaran seperti yang dilakukan di negara jiran.
“Jika harga diesel selaras dengan harga di Thailand, Singapura dan Indonesia yang lebih tinggi, tidak akan berlaku kes penyelewengan subsidi diesel disebabkan banyak penyelewe­ngan melibatkan rakyat negara jiran.
“Mereka yang perlukan subsidi diesel, mesti membuat permohonan terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan kerajaan menggubal polisi pemberian diesel bersubsidi yang diguna pakai sekarang dengan memper­kenalkan sistem baharu iaitu penerima insentif berkenaan perlu membuat permohonan secara rasmi terlebih dahulu.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, menerusi sistem tersebut, kerajaan boleh menetapkan sya­rat kelayakan penerima untuk ditapis justeru hanya golongan yang betul-betul layak dapat menikmatinya selepas diluluskan.

Ashfar berkata, pengurangan subsidi diesel tidak akan membebankan pengguna kerana mereka yang layak masih boleh mendapatkan subsidi melalui permohonan kepada kerajaan.

“Saya rasa tidak akan jejaskan pengguna. Mereka yang layak menerima subsidi masih boleh membuat permohonan. Lagipun, kebanyakan pengguna diesel adalah dalam kalangan pihak industri serta syarikat pengangkutan awam," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat berkata, sistem permohonan subsidi diesel itu perlu dilaksanakan kepada kenderaan persendirian serta pengangkutan awam yang layak bagi mengelakkan penyelewengan oleh pihak lain.

“Kerajaan boleh meletakkan syarat setiap pemilik kenderaan persendirian dan awam layak mene­rima subsidi, tetapi perlu memohon untuk mengelak subsidi itu diberi kepada mereka yang tidak sepatutnya," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah mengamalkan sistem kad kepada setiap ahli yang ingin membeli diesel.
“Bagi kita tidak ada masalah untuk melaksanakan sistem permohonan. Kita sudah ada sistem kad yang mana setiap nelayan boleh membeli diesel mengikut kuota yang ditetapkan, dan jika lebih mereka perlu bayar ikut harga pasaran," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140512/dn_07/Selaras-harga-diesel-ikut-pasaran-dunia#ixzz31TDj6SmX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...