Saturday, May 10, 2014

1890) UTUSAN MALAYSIA 8/5/2014 - KERAJAAN DIGESA LEBIH TELUS BERI BR1M KEPADA RAKYAT



Kerajaan digesa lebih telus beri BR1M kepada rakyat


KUALA LUMPUR 8 Mei - Kerajaan digesa menyediakan mekanisme berkesan bagi memperjelaskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada orang ramai secara lebih teratur dan tersusun.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana pihaknya mendapat banyak aduan daripada orang ramai berhubung kekeliruan mereka terhadap pemberian BR1M terutama menyentuh soal jumlah pemberian dan syarat permohonan.

Katanya, kerajaan juga perlu telus dalam soal mekanisme pengagihan BR1M yang membabitkan jumlah berbilion ringgit agar rakyat terus yakin bahawa ia adalah bantuan yang ikhlas disalurkan kepada mereka.
"Kerajaan perlu ada satu kaedah bagi memperjelaskan kepada rakyat berhubung pemberian BR1M ini agar mereka tidak keliru. Contohnya, ramai orang mengadu mereka menerima jumlah yang lebih sedikit berbanding BR1M pertama. Apabila diteliti semula, gaji mereka layak menerima jumlah yang lebih tinggi daripada apa yang mereka terima untuk kali kedua," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md. Akin meminta Kementerian Kewangan membentangkan kajian penilaian risiko di Dewan Rakyat berhubung kaedah pengagihan wang BR1M bagi memastikan bantuan itu tidak diseleweng atau tersalah bayar.

Langkah itu, katanya, sebagai bukti tiada penipuan berlaku dalam bantuan berjumlah berbilion ringgit itu.
Mengulas cadangan Shamsul Iskandar itu, Nadzim berkata, ia adalah satu langkah yang baik walaupun beliau sendiri percaya tindakan menyeleweng wang BR1M itu tidak berlaku di dalam peringkat kerajaan.
"Langkah itu dicadangkan mungkin hanya mahu melihat kesungguhan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat. Jadi ia akan memudahkan rakyat untuk lebih memahami apa yang mahu disampaikan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Parlimen Kuala Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, mekanisme penyelenggaraan wang BR1M merupakan satu aspek penting yang sewajarnya diberi perhatian serius oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan rakyat benar-benar berpuas hati dalam pengagihan bantuan itu.

"BR1M ini bukan sekali dua sahaja, ia akan ada lagi selepas ini. Jadi kaedah pemberian perlu diperincikan kerana ini melibatkan wang rakyat. Ramai yang masih keliru dengan pemberian wang ini," katanya.
Beliau berkata, sistem pengagihan BR1M juga perlu dinaik taraf pada masa depan agar pemberiannya benar-benar mencapai matlamat dalam membantu rakyat mengatasi kenaikan kos sara hidup.

"Selebihnya, kerajaan juga perlu menerangkan, menjelaskan dengan terperinci apa yang kerajaan sedang lakukan bagi mengkaji dan memperbaiki sistem pemberian BR1M ini. Bagaimana mereka memastikan tiada penyelewengan berlaku dan sebagainya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140509/dn_15/Kerajaan-digesa-lebih-telus-beri-BR1M-kepada-rakyat#ixzz31H7ls1JN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...