Wednesday, May 28, 2014

1938) NIB 24/05/2014 HARIAN METRO - MAHU LUPA DETIK HITAM


Headline: Mahu lupa detik hitam
Publication: HM
Date of publication: May 24, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 063
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Saya akan beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini kerana tidak mahu ia berlaku kepada orang lain. Buat masa ini ahli keluarga terus memberikan sokongan dan ingin bersama-sama walaupun sedar wang itu mungkin hangus," kata Latifah, salah seorang mangsa penipuan licik yang berselindung di sebalik urus niaga mata wang asing (forex).

Mengakui masih terkejut dengan ujian menimpa dirinya, graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu memaklumkan bahawa dia ingin fokus kepada masa depan selain sedang mencari pekerjaan sesuai untuk melupakan detik hitam ditempuhinya itu.

Katanya, rakan yang masih bekerja dengan syarikat berkenaan ada menghubunginya untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, namun buat masa ini dia memilih untuk mendiamkan diri dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut.

Kisah Latifah bersama tujuh rakan lain yang ditipu sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM1 juta disiarkan akhbar ini Selasa lalu selepas mereka membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mengenai perkara itu.

Dengan anggaran purata kerugian lebih RM100,000 seorang, mereka mendakwa terpedaya dengan tawaran gaji lumayan untuk jawatan Eksekutif Pentadbiran, sebelum diberi latihan mengenai skim pelaburan Internet dan urus niaga mata wang asing.

Latifah berkata, dia dan rakan lain kini sedang `mengumpul' kekuatan untuk melupakan apa yang berlaku dan membina hidup, baru dengan menghadiri temuduga di beberapa syarikat lain dan berharap dapat memulakan kerja dalam masa terdekat.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya menerima 20 aduan berkaitan pelaburan haram membabitkan jumlah jutaan ringgit sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, setakat ini semua aduan berkenaan sudah dirujuk kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Bank Negara untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, aduan berkenaan termasuk pelaburan emas yang diakui tidak sah oleh pihak berkuasa baru-baru ini manakala yang lain merangkumi pelaburan Internet dan skim tertentu.

Justeru katanya, PPIM akan merujuk kes itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk siasatan lanjut dan menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan tawaran meragukan.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...