Monday, May 12, 2014

1900) UTUSAN MALAYSIA 10/5/2014 - PERKENALKAN SISTEM BAHARU SUBSIDI DIESEL


Perkenal sistem baharu subsidi diesel

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kerajaan disaran menggubal polisi pemberian diesel bersubsidi yang diguna pakai sekarang dengan memperkenalkan sistem baharu iaitu penerima insentif berkenaan perlu membuat permohonan secara rasmi terlebih dahulu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, menerusi sistem tersebut, kerajaan boleh menetapkan syarat kelayakan penerima untuk ditapis justeru hanya golongan yang betul-betul layak da­pat menikmatinya selepas diluluskan.

Menurut beliau, bagi kenderaan komersial, selain perlu memohon atas nama syarikat, penetapan kuota yang boleh dibeli untuk tempoh masa tertentu perlu dilakukan bagi mengelak berlaku ketirisan kerana tindakan sesetengah individu yang mengaut keuntungan.

“Sistem yang kita gunakan sekarang sebenarnya kurang berkesan kerana kerajaan mena­warkan diesel bersubsidi secara umum menyebabkan semua pihak boleh membelinya wa­lau­pun mereka daripada golongan elit.

“Kalau betul tujuannya untuk membantu, maka wajibkan semua pemohon mengisi borang untuk ditapis dan hanya yang betul-betul layak akan mendapat kemudahan itu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung kegagalan pihak berkuasa mencari formula bagi menangani penyelewengan dan penyalahgunaan diesel bersubsidi yang berlaku secara berleluasa.
Berdasarkan satu maklumat yang diterima, daripada sejumlah 8.5 bi­lion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan aki­bat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui ‘cara gelap’.

Statistik ini menunjukkan hanya 5 bilion liter digunakan secara betul atau dimanfaatkan. Malah lebih mem­bingungkan bagaimana ini bo­­leh berlaku dan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel subsidi.

Menurut Nadzim, langkah penguatkuasaan tidak akan berkesan kerana faktor keuntungan menyebabkan penjualan secara haram bahan api itu berlaku di mana-mana tanpa dapat dibendung.

“Kalau kerajaan menetapkan syarat jumlah yang boleh dibeli maka kenderaan komersial tidak boleh menjualnya untuk memastikan kuota diesel yang ditetapkan tidak habis," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu meminta pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera untuk menangkap dalang di sebalik aktiviti tersebut.

Beliau berkata, orang awam juga perlu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutama orang dalam yang memainkan peranan penting menjual diesel bersubsidi di pasaran gelap.

“Penglibatan orang dalam mesti disekat sepenuhnya kerana jika tidak kerugian yang ditanggung oleh kerajaan akan terus meningkat," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...