Thursday, May 29, 2014

1959) nib 29/05/2014 berita harian - Penguatkuasaan halal haram lindungi peniaga, pengguna


Headline: Penguatkuasaan halal haram lindungi peniaga, pengguna
Publication: BH
Date of publication: May 29, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow
Isu halal haram amat sensitif dalam kalangan umat Islam kerana ia membabitkan akidah, syariat dan ibadah kepada Allah. Firman Allah SWT "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu". (Surah Al-Baqarah: 168 ).

Setiap umat Islam mesti meneliti soal halal dan haram dalam makanan kerana ia membabitkan status hukum dan kesan positif dan negatif dalam kehidupan individu dan masyarakat umumnya. Baru-baru ini negara digemparkan dengan penemuan DNA khinzir yang dikesan berada dalam Coklat Cadbury.

Pengesahan telah dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjalankan analisis ke atas beberapa sampel produk Cadbury. Daripada analisis yang dijalankan mereka mengesahkan produk Coklat Cadbury Dairy Milk (Hazel Nut), No Siri, 200813M01H I2 dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond, No Siri 221013N01R I1 mengandungi DNA khinzir. Dengan pengesahan ini, Pihak Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd telah berjanji untuk menarik balik semua produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

Tiada undang-undang khusus

Pada masa ini tiada undang-undang khusus mengenai halal di Malaysia. Isu yang berkaitan dengan halal adalah dikawal selia di bawah beberapa akta yang sudah lama wujud di Malaysia.

Dalam pengurusan Pensijilan Halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri, beberapa undang-undang dan akta berikut diguna pakai dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan iaitu;

- Akta Perihal Dagangan 1972 dan Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan `Halal') 1975 yang menjelaskan takrif halal dan penyediaan makanan halal dari segi hukum syarak serta kesalahan pemalsuan bahan mentah dan dokumen halal yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

- Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 berhubung pelabelan, amalan kebersihan dan keselamatan makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Akta Binatang 1953 (Semakan 2006), Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 dan Animals Rules 1962, Animals (Importation) Order 1962 berhubung penternakan haiwan dan kawalan penyakit oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

- Akta Kastam 1967 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 1998 berhubung import daging halal oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

- Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 mengenai Penandaan makanan halal oleh Jabatan Agama Islam Negeri, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan serta Akta Cap Dagangan 1976 oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Syarikat yang menyalahi mana-mana undang-undang dan akta yang berkuat kuasa di negara ini itu boleh menyebabkankan sijil halal digantung atau ditarik balik.

Perlindungan kepada peniaga, pengguna

Selain daripada itu, isu penguatkuasaan berhubung dengan ungkapan `Halal' juga boleh dilaksanakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 201. Akta ini dan perundangan subsidiarinya memberi perlindungan kepada peniaga/pengguna dari amalan perdagangan yang tidak sihat.

Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, penggunaan perihal `Halal' atau dengan apa-apa ungkapan lain oleh peniaga tidak diwajibkan di bawah undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 memperuntukkan bahawa apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam, ungkapan itu bererti makanan atau barang-barang itu:

(a) Bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;

(b) Tidak mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak;

(c) Tidak memabukkan mengikut Hukum Syarak;

(d) Tidak mengandungi mana-mana bahagian anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak;

e) Tidak beracun atau memudaratkan kesihatan;

(f) Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari najis mengikut Hukum Syarak; dan

(g) Tidaklah dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya bersentuhan, bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang gagal memenuhi perenggan (a) dan (b).

Apabila perkhidmatan berhubung dengan makanan atau barang-barang, termasuk pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan bahan mentah, penyajian dan peruncitan makanan atau barangbarang tersebut diperihalkan sebagai halal, ungkapan tersebut bererti perkhidmatan itu dijalankan mengikut Hukum Syarak.

Penalti syarikat RM5 juta

Mana-mana orang yang menyalahi Perintah berkenaan adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu. Penalti untuk syarikat atau pertubuhan perbadanan pula ialah denda sehingga RM5 juta.

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011, ia hanya memperuntukkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam bagi Negeri-Negeri (MAIN) masingmasing dilantik menjadi pihak berkuasa berwibawa untuk memperaku bahawa mana-mana makanan, barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Di bawah Perintah itu, semua makanan, barang atau perkhidmatan tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan jika: (a) Diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa (JAKIM/MAIN); dan (b) Ditandakan dengan logo yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berwibawa (JAKIM/MAIN).

Mana-mana orang yang menyalahi Perintah berkenaan adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu. Penalti untuk pertubuhan perbadanan pula ialah denda sehingga RM250,000.00.

Kesahihan `Halal'

Pihak KPDNKK dengan kerjasama JAKIM/ MAIN secara konsisten menjalankan pemeriksaan bagi menentukan kesahihan perbahasan 'Halal' yang digunakan itu. Pihak KPDNKK juga menggalakkan orang ramai untuk melaporkan sebarang penyalahgunaan perihal ¿Halal" palsu atau mengelirukan supaya tindakan dapat diambil.

Walaupun wujud pelbagai undang-undang yang yang berkaitan mengenai isu halal di Malaysia, namun masih wujud pelbagai masalah lagi terutama dari aspek penguatkuasaan.

Isu penguatkuasaan ini telah menyebabkan pihak pengguna terutama dalam kalangan umat Islam berasa dalam keadaan risau dan kurang percaya terhadap status halal sesuatu barang di pasaran.

Terdapat pelbagai cadangan yang dikemukakan bagi menyelesaikan isu ini seperti menyarankan supaya pihak JAKIM membuka satu unit khas di jabatannya untuk memberi fokus sepenuhnya pada aspek penguatkuasaan kualiti halal sesuatu produk di pasaran melalui kerjasama erat dengan pihak ketiga seperti pakar-pakar makanan, Jabatan Forensik, ataupun tenaga pakar dari universiti di Malaysia.

Pihak badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga boleh memainkan peranan penting dengan memastikan penguatkuasaan yang berterusan oleh pihak yang berkaitan dengan isu halal di negara ini.

Penyelesaian juga boleh dilakukan melalui penggubalan akta khusus mengenai halal haram sesuatu barangan dan produk di Malaysia. Melalui akta ini, pembuktian halal haram, terhadap sesuatu produk barangan makanan, barangan pengguna dan industri tidak lagi menjadi bebanan pengguna dan pendakwa, sebaliknya pengeluar dan peniaga yang memperoleh imbuhan keuntungan, yang wajib membuktikan barangan yang dijual kepada masyarakat Islam adalah halal.

* Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...