Thursday, May 29, 2014

1958) NIB 29/05/2014 Harian Metro - NESCA gesa pantau semua produk makanan


Headline: NESCA gesa pantau semua produk makanan
Publication: HM
Date of publication: May 29, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 022

Seremban: Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (NESCA), menggesa pihak berkuasa memantau dengan teliti semua produk makanan termasuk coklat yang dipasarkan di negara ini.

Ia bertujuan memastikan kejadian dua coklat keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd yang disahkan mengandungi DNA babi tidak berulang pada masa depan.

Presidennya Khairuddin Yunus berkata, pihak berkuasa tidak harus bertolak ansur terhadap perkara ini sebaliknya menjadikannya sebagai iktibar kerana ia membabitkan isu sensitif dan kepentingan masyarakat Islam.

Katanya, ketika ini banyak syarikat dari luar negara yang mengeluarkan pelbagai produk makanan dan dipasarkan secara meluas di negara ini kerana mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Biarpun kebanyakan produk yang dikeluarkan itu mempunyai pengesahan sijil halal daripada JAKIM atau badan berkaitan tetapi kita khuatir tanda halal yang diletakkan pada produk berkenaan hanya sekadar tanda semata-mata manakala produk berkenaan belum tentu dijamin halal.

"Justeru, kita minta pihak berkuasa lebih agresif dalam perkara ini bagi memastikan tiada syarikat yang cuba mengambil kesempatan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai di negeri ini susulan dua jenis coklat berkenaan yang mengandungi DNA babi dan menggesa NESCA menyalurkan pandangan mereka kepada pihak berkuasa supaya tindakan pemantauan terhadap produk makanan lain di pasaran diberikan perhatian serius.

Menurutnya, biarpun pengurusan syarikat berkenaan menyatakan dua coklat itu akan ditarik balik daripada pasaran, tiada jaminan bahawa ia dilakukan dengan sempurna.

"Pengurusan pasar raya atau premis perniagaan yang terbabit menjual produk berkenaan perlu bekerjasama bagi memastikan tiada produk terbabit dijual di tempat mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Negeri Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mohd Fadil Baharuddin berkata, pihaknya menyokong penuh saranan itu dan menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap perkara membabitkan isu halal.

"Ada banyak lagi produk makanan keluaran syarikat luar negara dan bukan Islam di pasaran yang mempunyai sijil halal dan memerlukan pemantauan daripada pihak berkuasa," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...