Wednesday, May 28, 2014

1935) NIB 25/05/2014 BERITA MINGGUAN - PPIM MAHU SAMAN PENGELUAR COKLAT


Headline: PPIM mahu saman pengeluar coklat
Publication: BM
Date of publication: May 25, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Rohaniza Idris
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengeluar coklat susu Cadbury Dairy Milk yang disahkan mengandungi asid deoksiribonulkleik (DNA) babi.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, berkata tindakan itu perlu kerana pengeluar produk berkenaan, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd gagal memastikan produk yang dihasilkannya halal walaupun sudah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Wakili umat Islam

Katanya, tindakan itu bagi mewakili seluruh umat Islam di negara ini yang berasa tertipu dengan kelalaian pengeluar terbabit.

"Kami sedang berbincang dengan peguam dan Insya-Allah minggu depan tindakan akan diambil," katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas pengesahan Kementerian Kesihatan terhadap dua produk, iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk dan Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond yang mengandungi DNA babi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan dibuat ke atas tiga sampel coklat itu selepas dakwaan dalam media sosial adanya DNA babi dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas, kelmarin.

Dua sampel disahkan mengandungi DNA babi itu adalah Coklat Susu dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok 221013N01R I1, bertarikh luput 15 Januari 2015.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang antara lain bertujuan melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan serta penipuan pada penyediaan, penjualan, penggunaan makanan mahupun perkara berkaitan dengannya.

Bagaimanapun, satu lagi sampel Coklat Susu - Cadbury Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi DNA babi.

Keluarkan dari pasaran

Katanya, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd sudah memberi jaminan akan menarik balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

Untuk maklumat lanjut, pengguna juga boleh merujuk laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu pengeluar coklat itu memberikan penjelasan kepadanya.

Pengarah Komunikasinya, Yusof Abdul Rahman, berkata FOMCA mahu mendapatkan penjelasan terperinci sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk tindakan undang-undang terhadap syarikat itu.

INFO

Cadbury Dairy Milk

* Diasaskan pada tahun 1824

* Coklat Cadbury Dairy Milk mula dijual pada 1905.

* Coklat keluaran Cadbury Dairy Milk menjadi produk coklat paling popular dunia.

* Coklat susu pertama dibuat John Cadbury dengan mencampurkan susu tepung dengan bahan utama coklat.

* Melalui penyelidikan dan kemajuan teknologi pembuatan coklat, rasa coklat susu kini lebih sedap, berkrim, manis dan rasa lemak.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...