Tuesday, May 30, 2017

3753) HUKUM PEMBAZIR MAKANAN - SINAR HARIAN - 30/5/2017

                   SINAR HARIAN 30.5.2017
 Shah Alam - Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dengan segera bagi membendung isu pembaziran makanan daripada berterusan berlaku. Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, saranan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dua tahun lalu yang menggesa kerajaan supaya mewujudkan Akta Pembaziran Makanan khusus bagi mengekang budaya pembaziran terutamanya yang banyak berlaku di bulan Ramadan perlu diberi perhatian. "Melalui pengenalan undang-undang terbabit, pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk penalti boleh dipertimbangkan terhadap mana diri individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran makanan," katanya. Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan 50 peratus hidangan bufet di hotel terbuang walaupun pelanggan bayar dengan harga tinggi. Malah, Wan Junaidi turut menyarankan supaya satu pendekatan baharu segera diwujudkan bagi menggelakkan pembaziran khususnya pada bulan Ramadan ini. Menurutnya, pada masa sama, kerajaan juga boleh mempertimbangkan langkah Perancis yang memperkenalkan peruntukan khas melarang kedai dan pasar raya membuang lebihan makanan yang tidak berjaya dijual. "Lebihan makanan itu diberikan kepada persatuan pengguna untuk disalurkan pada mereka yang memerlukan," katanya. Beliau berkata, semua pihak harus memandang berat atas isu pembaziran makanan ini serta mengambil segala langkah yang perlu bagi membendung ia daripada berterusan berlaku. "Sudah tiba masanya semua pihak termasuk kerajaan memberi perhatian terhadap isu pembaziran makanan yang semakin meningkat," katanya. Dr Muzaffar berkata, isu pembaziran makanan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan pembaziran bahan utama yang menyumbang tenaga kepada manusia. "Pada masa sama, pembaziran yang berlaku turut memberi impak negatif terhadap tamadun dan peradaban manusia," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...