Pengarah Urusan Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd., Dr. Mohamad Zainol Ahmad Haja berkata, sebagai sebuah syarikat yang membekalkan produk makanan halal bagi pasaran tempatan dan eksport, Anugerah Produk Pengguna Terbaik yang diraih membantu menguatkan lagi kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk yang dihasilkan.
“Ia bersesuaian dengan perniagaan kami yang memasarkan produk makanan halal ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd merangkul Anugerah Produk Pengguna Terbaik pada Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada PKS patuh syariah dalam lapan kategori yang dipertandingkan.
Ia dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Tambah Mohamad Zainol, pihaknya menyertai anugerah berkenaan selepas tertarik dengan konsep yang diketengahkan anugerah ini yang menekankan elemen patuh syariah dalam kalangan PKS yang bertanding.
Katanya, kebanyakan anugerah perniagaan yang dianjurkan sebelum ini lebih kepada menghargai jenama dan perniagaan malah ia merupakan anugerah pertama seumpamanya yang disertai oleh Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn. Bhd.
“Sebelum ini kami banyak menerima jemputan bagi pencalonan anugerah perniagaan, namun ini kali pertama kami bercadang menyertainya dan Alhamdulillah berjaya dinobatkan sebagai satu daripada pemenang kategori yang dipertandingkan,” katanya.