Anugerah tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusof; ADUN Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani dan Yang Dipertua MBK, Mohd. Syahbuddin Hashim.
Sementara itu, Mohd. Fared yang juga Presiden Persatuan Muay Thai Kelantan berharap kejayaan itu memberi motivasi kepada belia lain untuk melakukan lebih banyak kerja kebajikan.
Katanya, minat dan keikhlasan dalam melakukan kerja sosial akan membuahkan hasil yang baik dalam setiap kegiatan yang disertai.
“Saya begitu meminati bidang kebajikan yang saya ceburi dan ini memberikan semangat kepada saya untuk terus bekerja keras.
“Hari ini saya merasakan penat lelah serta pengorbanan sebelum ini dihargai dan diberi perhatian.
“Saya berterima kasih kepada MBK yang dapat melihat sumbangan saya dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Selain aktif dalam sukan Muay Thai, beliau juga menyandang jawatan Presiden bagi Persatuan Berbasikal Kelantan dan Presiden Sukan Berkuda Amatur Kelantan.
Dalam bidang kebajikan, Mohd. Fared ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) negeri dan Presiden Persatuan Pendaftar Pengundi Melayu Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Fared berkata, penganjuran sambutan Hari Belia di kawasan luar bandar amat baik bagi memberi pendedahan kepada golongan tersebut yang selama ini jauh dari­pada aktiviti belia yang lazimnya tertumpu di kawasan bandar.
“Saya melihat festival kali ini berjaya apabila mendapat pe­nyertaan lebih 30,000 orang belia serta menjangkau sasaran pihak penganjur.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi kerana acara yang disediakan memberi impak positif kepada para belia,” katanya.