Thursday, May 18, 2017

3713) MODAL PERCUMA RM 200,000 - HARIAN METRO - 18/5/2017

harian metro 18.5.2017 2

Seorang lelaki berstatus Datuk kini dikesan mempromosikan satu dana yang tidak wujud dikenali sebagai Dana Pembangunan Usahawan kononnya untuk memberi bantuan modal percuma kepada mana-mana ahli perniagaan Bumiputera berjumlah RM 200,000 seorang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Datuk berusia 50-an itu turut 'menjaja' nama pejabat Perdana Menteri dengan memaklumkan program bantuan itu boleh diberikan dengan syarat memiliki akaun di sebuah bank milik kerajaan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau juga mendakwa bayaran pemprosesan untuk mendapatkan dana itu hanya RM 130.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang curiga dengan kewujudan dana berkenaan sejak bulan lalu dan sia- satan awal pihaknya mendapati ia adalah satu penipuan.
Katanya, Datuk berkenaan mendakwa wang berjumlah ratusan juta perlu diagihkan kepada mereka yang mempunyai daftar perniagaan SSM dan akaun sebuah institusi kewangan tanpa syarat tambahan lain.
“Hasil pertemuan dengan Datuk terbabit, PPIM dimaklumkan penerima akan mendapat RM85,000 saja manakala selebihnya akan dipotong oleh penganjur skim untuk tujuan lain.
“Di situ, timbul tanda tanya bagaimana jumlah yang dipotong terlalu tinggi dan tanpa perlu sebarang bayaran balik. Belum ada dana yang begitu mudah seperti ini. Semakan kita dengan institusi kewangan terbabit juga mendapati tiada dana seperti didakwa,” katanya kepada Harian Metro.
Dana berkenaan dikatakan sebagai dana politik yang digunakan untuk kegunaan pilihan raya dan perlu diagihkan secara senyap kerana ia agenda tertentu yang didakwa mempunyai kaitan dengan Putrajaya.
Nadzim berkata, Datuk terbabit juga mendakwa dana seperti itu diberikan kepada syarikat bertaraf Sdn Bhd dengan jumlah RM2 juta dalam bentuk draf bank dan pemilik syarikat menerima RM450,000 tunai.
“Setakat ini, PPIM difahamkan sudah ada 500,000 penerima di seluruh negara, namun apabila saya meminta bukti, Datuk terbabit gagal berbuat demikian. Jadi, kita anggap ini satu bentuk penipuan dan meminta orang ramai berhati-hati apabila di tawarkan sebarang dana yang meragukan.
“PPIM akan membawa perkara ini kepada Bank Negara dalam masa terdekat dan berharap siasatan segera dilakukan untuk lebih ramai orang terpedaya ,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...