Friday, February 7, 2014

1141) HARIAN METRO 7/2/2014 MANA RM3 JUTA?




Headline: Mana RM3j?
Publication: HM
Date of publication: Feb 7, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 045
Byline / Author: Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Seorang kontraktor kelas A menuntut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membayar ganti rugi bernilai RM3 juta seperti yang diputuskan mahkamah.

Fadzilah Abdul Hamid mendakwa walaupun kes berkenaan sudah berlarutan 10 tahun, syarikatnya Menara Biru Sdn Bhd masih belum menerima bayaran berkenaan.

Menurutnya, isu berkenaan timbul selepas syarikatnya sebelum ini gagal mendapatkan bayaran penuh RM3 juta projek pembinaan 10 unit banglo untuk pegawai MBSA di Seksyen 8, Shah Alam yang dimulakan pada 2001 sebelum projek disiapkan pada akhir tahun 2002.

"Kali pertama kes ini dibawa ke mahkamah pada 2004 dan MBSA kalah, malah apabila dibawa ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pun keputusannya masih memihak kepada saya, namun pihak berkuasa tempatan itu masih enggan mematuhi arahan membayar ganti rugi itu.

"Kini selepas 10 tahun, kes ini masih tidak dapat diselesaikan sehinggalah pada tahun ini, Mahkamah Rayuan memutuskan keputusannya kekal, tetapi syarikat saya perlu mentafsir jumlah besar baru yang perlu dibayar oleh MBSA merangkumi keseluruhan kerugian yang dialami.

"Sebelum ini pun jumlah asal RM3 juta sudah meningkat kepada RM6.5 juta setakat tahun lalu dan keengganan MBSA membayarnya dengan cara memanjangkan perbicaraan kes ini mungkin akan menyebabkan peningkatan pelbagai kos sehingga RM20 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi Gerakan Pengguna Selangor Datuk Dr Jacob George.


Menurut Fadzilah, berikutan daripada kes berkenaan, nama syarikatnya terjejas apabila disenarai hitam sehingga kini selain trauma sehingga menyebabkan hubungannya dengan keluarga turut dilanda masalah.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...