Friday, February 7, 2014

1139) UTUSAN MALAYSIA 7/2/2014 DATUK BANDAR SHAH ALAM DIDESAK LETAK JAWATAN



KUALA LUMPUR 6 Feb. - Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan didesak melepaskan jawatan ekoran kegagalannya memainkan peranan berhubung isu tuntutan RM6.5 juta oleh sebuah syarikat kontraktor terhadap Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu perlu memandangkan isu membabitkan syarikat kontraktor, Menara Biru Sdn. Bhd. dan MBSA itu sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu dan telah beberapa kali dibicarakan di mahkamah.

Jelasnya, walaupun MBSA diarah membayar tuntutan tersebut, sehingga kini pihak majlis seolah-oleh melambatkan prosedur serta mencabar keputusan mahkamah sekali gus menyebabkan jumlah faedah yang perlu dibayar semakin bertambah.

"Duit yang akan dibayar kepada kontraktor tersebut menggunakan duit rakyat, jadi di sini kita melihat ketidakjujuran pentadbiran Datuk Bandar yang cuai sehingga menyebabkan duit rakyat tergadai kerana kedegilan menuruti perintah mahkamah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 2001, Menara Biru Sdn. Bhd. telah mendapat kontrak untuk mengambil alih satu projek terbengkalai pembinaan sebanyak 10 unit banglo di Jalan Hakisan, Seksyen 8, Shah Alam.

Namun apabila projek itu siap pada 2002, MBSA gagal membayar syarikat kontraktor tersebut sehingga menyebabkan operasi Menara Biru diberhentikan kerana adanya tuntutan daripada pihak bank selain turut disenaraihitamkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, MBSA seharusnya menjalankan tanggungjawab dengan penuh bermaruah dan bukannya melanggar perintah mahkamah.

"MBSA dilihat seolah-olah mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada mahkamah dan sebab itu mereka sengaja melanggar perintah mahkamah," jelasnya.

Tambahnya, MBSA diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan konflik tersebut atau tindakan tegas diambil terhadap mereka termasuk pihaknya akan mempersoalkan kewajaran pembinaan rumah banglo tersebut yang dibuat bagi kegunaan pegawai atasan MBSA.

"Dalam masa yang sama Mohd. Jaafar seolah-olah tutup mata dan hanya membiarkan perkara itu berlanjutan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, mangsa yang juga Pengarah Urusan Menara Biru, Fazilah Abdul Hamid berkata, MBSA telah diarahkan oleh Mahkamah Timbang Tara pada 2004 untuk membayar nilai tersebut kepadanya namun sehingga kini masih belum menjelaskannya.


"Sejak mula mengambil alih projek berkenaan, MBSA hanya membayar RM1.5 juta daripada nilai perjanjian sebenar RM3 juta dan bakinya masih tidak dibayar sehingga projek siap dibangunkan, malah sehingga ke hari ini,'' katanya

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...