Thursday, February 13, 2014

1159) SINAR HAARIAN 13/2/2014 NGO SYOR PERBANYAKKAN SEKOLAH VERNAKULAR




KUALA LUMPUR - Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengesyorkan kerajaan menubuhkan lebih banyak sekolah vernakular bangsa dan kumpulan etnik lain di negara ini, selain Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), yang ada sekarang.
   
Langkah itu, menurut Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Hak Asasi Pengguna Pahang (HAPP) dan Pertubuhan Kemakmuran Masyarakat India Pahang, bertujuan mengukuhkan lagi gagasan 1Malaysia serta memupuk lebih keharmonian antara kaum.
   
Pengerusi KWMM Dzulkarnain Taib berkata, langkah itu juga menjadikan matlamat konsep 1Malaysia lebih inklusif serta tidak dilihat meminggirkan mana-mana suku kaum atau kumpulan etnik di Malaysia.
   
"Sekolah vernakular wajar diperluaskan merangkumi bangsa Melayu, suku kaum Orang Asli, Pribumi Sabah dan Sarawak serta kumpulan etnik minoriti yang lain seperti Siam, Malayalam, Telegu, Urdu, Hindi, Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Portugis dan pelbagai lagi termasuk sekolah agama dan Arab persendirian," katanya.
   
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Presiden HAPP Ram Ponnusamy.
 
Dr Maamor berkata, sekolah vernakular juga memberi peluang kepada pebagai bangsa dan kumpulan etnik mempelajari adat dan budaya masing-masing.
   
"Kalau sekolah vernakular untuk bangsa Melayu misalnya, ia akan membantu bangsa Melayu mempelajari adat dan adab Melayu, mempelajari tulisan Jawi yang semakin hilang ditelan zaman atau mempelajari gurindam, syair, sajak yang menjadi kebanggaan orang Melayu pada zaman dahulu," katanya.
   
Ram Ponnusamy pula berkata, meskipun beliau berbangsa Tamil, namun langkah itu amat bertepatan dalam usaha mengharmonikan lagi pelbagai kaum yang terdapat di negara ini.
   
"Malaysia mempunyai pelbagai kaum dengan pelbagai bahasa, mungkin boleh dipertimbangkan satu pendekatan baharu untuk memberi peluang lebih banyak bangsa dan suku kaum mempelajari budaya mereka di sekolah vernakular khas seperti SJKC dan SJKT," katanya.
   
Keempat-empat NGO itu turut berpendapat penubuhan lebih banyak sekolah vernakular merangkumi pelbagai kaum juga akan membantu mewujudkan sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, bersatu padu dan berkeyakinan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...