Wednesday, February 12, 2014

1149) UTUSAN MALAYSIA 12/2/2014 PENGGUNA PENENTU HARGA BARANG






PUTRAJAYA 11 Feb. - Kerajaan akan memulakan kempen gerak saraf dalam mendidik pengguna agar mereka sedar mengenai hak dan peranan masing-masing, terutama sebagai penentu utama harga barangan di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, gerak saraf tersebut akan menumpukan pada kaedah menangani kos sara hidup dan budaya hidup pengguna menerusi maklumat yang bakal dikongsi oleh 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna.

Menurut beliau, kesemua NGO yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing itu akan berperanan mendekati masyarakat di seluruh negara melalui kaedah tersebut.

"Kita akan bekerjasama dengan NGO untuk memberikan penerangan dan menerapkan ilmu kepenggunaan kepada masyarakat di bandar dan luar bandar, tempat awam dan institusi pendidikan tinggi.

"Sebagai contoh untuk gerak saraf ini, kita telah mengenal pasti NGO berkenaan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang akan mendidik pelajar di sekolah supaya membawa bekalan makanan manakala Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berperanan mendidik masyarakat dalam isu produk halal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Kempen Pemerkasaan Pendidikan Pengguna Kepada NGO di sini hari ini.

Sementara itu Hasan berkata, sebanyak 20 NGO diberikan dana sebanyak RM3.5 juta bagi menggerakkan kempen pemerkasaan pengguna seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada minggu lalu.

Antara NGO tersebut katanya, ialah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea).

NGO lain katanya, PPIM, GPMS, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Pertubuhan Pembimbing Kewangan Pengguna dan Keluarga Malaysia, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga telah merangka pelan lima tahun tindakan pemerkasaan pendidikan pengguna yang meliputi sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang.

Hasan berkata, antara pelan jangka pendek ialah penjelajahan pendidikan pengguna menerusi saluran media baharu bertujuan menyebarkan isu kepenggunaan dengan lebih cepat dan meluas.

"Menerusi pelan ini kita akan minta NGO untuk turun ke bawah dan memberi ilmu kepenggunaan kepada rakyat mengenai hak dan apa yang perlu mereka tahu sebagai pengguna.


"Media baharu pula akan berperanan menyebarkan isu-isu kepenggunaan dan menjadi sumber maklumat kepada orang ramai untuk membuat perbandingan harga di sesuatu kawasan," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...