Thursday, February 27, 2014

1175) BERITA HARIAN 27/2/2014 PERJANJIAN SELESAI KRISIS BEKALAN AIR


Headline: Perjanjian selesai krisis bekalan air
Publication: BH
Date of publication: Feb 27, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 008


Kejayaan Kerajaan Pusat dan Selangor menyelesaikan masalah bekalan air menerusi pemeteraian memorandum persefahaman bagi penstrukturan semula industri air di negeri itu, semalam, disambut baik pelbagai pihak kerana ia akan memanfaatkan rakyat.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia, Datuk Mohd Fidaus Abdullah, berkata perkara itu sememangnya dinantikan oleh rakyat bagi membolehkan kerajaan melakukan tindakan yang mampu menyelesaikan krisis air menerusi projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

"Penstrukturan semula industri bekalan air adalah sebahagian daripada perkara dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) kerana melaluinya, ia dapat menambahbaik infrastruktur bagi menampung permintaan air terawat di Selangor.

Ambil langkah terbaik

"Akhirnya, Selangor mengambil langkah untuk turut serta dalam penstrukturan selepas Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Perlis," katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Kerajaan Persekutuan dan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air Selangor selepas ia berlarutan tanpa penyelesaian sejak 2008, sekali gus membolehkan projek LRA Langat 2 yang tertangguh diteruskan.

MoU itu ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan Selangor diwakili Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, Foon Weng Lian, berkata perjanjian itu adalah titik permulaan yang positif bagi sektor perkhidmatan air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Katanya, ramai pihak pasti tertunggu-tunggu langkah seterusnya yang akan diambil Kerajaan Pusat dan Selangor bagi mengakhiri krisis air di Selangor.

"Kami sememangnya menyokong tindakan ini dan mengharapkan pelaksanaan segera dalam keadaan yang telus dan cepat bagi mengatasi krisis air.

"Rakyat sudah lama sengsara dan dengan adanya LRA Langat 2, ia sudah tentu dapat mengelakkan sebarang catuan air," katanya.

Tingkat bekalan air

Presiden Persatuan Air Malaysia, Syed Mohd Adnan Mansor Alhabshi, berkata perjanjian itu adalah langkah positif untuk industri air dan pembinaan LRA Langat 2 akan meningkatkan bekalan air di Selangor dalam tempoh 20 tahun akan datang.

"Penstrukturan industri air akan tercapai apabila kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan dan membuka lembaran baru," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai masalah air dan kerajaan seharusnya sudah lama menyelesaikan masalah itu demi menjaga kepentingan rakyat.


"Saya harap pengguna tidak lagi menjadi mangsa permainan politik dan seharusnya pemimpin mengutamakan kepentingan rakyat," katanya

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...