Tuesday, February 25, 2014

1171) UTUSAN MALAYSIA 22/2/2014 HARGA NASKHAH AL-QURAN NAIK 50 PERATUS?




KUALA LUMPUR 22 Feb. - Ketika rakyat merasai pelbagai kenaikan harga barangan, masyarakat Islam pula dijangka dibebani dengan kenaikan harga kitab al-Quran sehingga 50 peratus jika kerajaan meneruskan penguatkuasaan pelekat hologram mulai 1 Mac ini.

Presiden penaja Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM), Sabariah Abdullah berkata, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan kerana para penerbit diwajibkan oleh kerajaan membeli hologram dengan harga RM1 bagi setiap naskhah.

"Harga senaskhah al-Quran adalah daripada RM10 hingga RM300 tetapi naskhah paling banyak dijual adalah yang berharga RM10.

"Apabila penguatkuasaan pelekat hologram dijalankan oleh kerajaan maka harga RM10 senaskhah akan naik pada harga sekitar RM16 kerana peningkatan kos," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Bendahari Persatuan Gabungan NGO Islam (Accin), Mukram Mohd. Taib.

Sabariah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 2011 mengarahkan penerbit agar setiap naskhah kitab suci itu dilekat hologram yang dijual dengan harga RM1 melalui Bahagian Teks al-Quran KDN.

Menurutnya, bermula 1 Mac ini pula, KDN akan menjalankan penguatkuasaan dengan mengenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun ke atas penerbit atau pekedai yang didapati menjual al-Quran tanpa pelekat hologram.

Sehubungan itu, beliau berkata, PQM menggesa kerajaan memansuhkan penguatkuasaan tersebut kerana peraturan itu didapati membebankan penerbit dan pengguna.

Menurutnya, kos yang meningkat adalah bagi menampung pembelian pelekat hologram, kos tambahan tenaga pekerja untuk melekatkan hologram selain pembaziran masa.

Katanya, pelekat hologram itu juga tidak dapat menjamin ketulenan al-Quran kerana kitab suci itu masih boleh dicetak rompak.

Menurut Sabariah, tidak mustahil sebahagian daripada 100 syarikat penerbitan al-Quran di negara ini berisiko untuk gulung tikar akibat kenaikan kos berkenaan.

"Penerbit mencetak 5,000 hingga 20,000 setiap cetakan, ini bermakna penerbit harus menyediakan wang tunai sehingga RM20,000 untuk membeli hologram sebelum al-Quran dapat dicetak maka ini sangat membebankan penerbit kecil," katanya sambil menambah 100 penerbit al-Quran yang mempunyai lesen itu menerbitkan 500,000 naskhah setahun.

Beliau berkata, sepatutnya KDN mempermudahkan penerbitan al-Quran bagi menggalakkan penyebaran kitab suci tersebut dan bukannya mengenakan peraturan tidak wajar yang menyusahkan penerbitannya.

Katanya, PQM mencadangkan agar KDN mengekalkan sistem cop Perakuan Betul Huruf Pruf Akhir Teks al-Quran yang digunakan selama ini dan memberikan dana bantuan kepada para penerbit.

Menurutnya, kaedah tersebut terbukti berkesan manakala pelekat hologram adalah satu kaedah yang tidak pernah dilakukan oleh negara lain termasuk Arab Saudi, Jordan dan Mesir.

Sabariah berkata, PQM juga berharap dapat menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secepat mungkin bagi membincangkan masalah berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Pustaka Darul Iman, Mohd. Fadzil Saleh berkata, jualan naskhah al-Quran menurun antara 30 hingga 50 peratus sejak tahun lalu kerana kitab di kedainya tiada dilekat hologram.


Penerbit lain, Abdul Khaliq Abdul Malik daripada Percetakan Dar Hakamah pula memberitahu, sebanyak 2,500 naskhah al-Quran terpaksa dipulangkan oleh pekedai kerana tidak dapat dijual berikutan ketiadaan pelekat berkenaan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...