Wednesday, February 5, 2014

1137) HARIAN METRO 5/1/2014 JEJAS IMEJ SIJIL HALAL




Headline: Jejas imej sijil halal
Publication: HM
Date of publication: Feb 5, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 027
Byline / Author: Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Sebuah syarikat pengeluar mi yang mendapat pengiktirafan halal oleh pihak berkuasa dikesan mempromosikan menu daging babi untuk menyedapkan lagi masakan bahan mentah keluarannya.

Melalui laman webnya, syarikat berkenaan turut memuat naik sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tetapi di bawah logo halal itu dipromosikan mi kuning keluarannya sesuai digunakan untuk memasak mi Hokien dan digoreng bersama empingan daging babi.

Pemerhatian Harian Metro mendapati, penerangan itu juga menyebut penggunaan kulit babi bertujuan menjadikan mi yang dihidangkan bertambah lazat dan menyelerakan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, JAKIM perlu memandang serius perkara itu kerana telah menjejaskan imejnya selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran sijil halal.

"Mana boleh dicampurkan produk halal dengan cadangan hidangan tidak halal, seolah-olah syarikat berkenaan tidak faham maksud halal dan lebih teruk logo halal JAKIM turut dipampang bersama-sama.

"Ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kami berharap JAKIM mewujudkan syarat baru permohonan sijil halal yang bukan hanya dilihat pada logo dan produk sahaja, tetapi merangkumi etika supaya makna halal itu lebih dihormati," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, cara yang dipaparkan laman web syarikat berkenaan boleh disamakan seperti syarikat perbankan Islam yang menggunakan perunding jualan wanita memakai skirt pendek ketika berurusan dengan pelanggan.

"Kalau jual produk berasaskan Islam, mestilah seseorang itu menjaga adab pakaiannya seperti Islam, begitu juga dengan jualan makanan. Macam mana ada logo halal tapi promosi babi dalam masakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengeluarkan sepucuk surat terhadap syarikat berkenaan hari ini (semalam) untuk diadakan pertemuan dalam masa terdekat.

"Dalam surat itu, kita minta perjumpaan bagi mereka menjelaskan sebab mengapa bertindak demikian yang telah mencetuskan sensitiviti umat Islam di seluruh negara.


"Pada masa sama, JAKIM meminta syarikat itu mengeluarkan permohonan maaf kepada masyarakat umum supaya menjadi pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan," katanya

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...