Tuesday, February 4, 2014

1130) BERITA HARIAN 23/1/2014 Ops Harga Periksa Semua Barang Keperluan




Headline: Ops Harga periksa semua barang keperluan
Publication: BH
Date of publication: Jan 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Anwar Patho Rohman


Isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kini menjadi bualan di mana-mana saja. Ikuti temu bual wartawan BH, dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berhubung langkah yang dilaksanakan kementeriannya dalam menangani masalah itu.

BH: Boleh Datuk ulas senario kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini?

Hasan: Kenaikan dan penurunan harga barang sentiasa berlaku. Harga barangan ditentukan oleh pasaran atas faktor penawaran dan permintaan. Perubahan harga juga boleh berlaku kerana faktor di luar kawalan seperti cuaca, khabar angin, kelemahan rantaian bekalan dan kebergantungan kepada barangan import. Dari sudut faktor cuaca, musim tengkujuh mempengaruhi jumlah pengeluaran terutama barangan seperti ikan dan sayur-sayuran yang menyebabkan penawaran kurang daripada permintaan sehingga mendorong peniaga menaikkan harga. Ia diburukkan lagi jika berlaku masalah dalam pengangkutan disebabkan banjir teruk melanda kawasan pantai timur. Kerosakan tanaman seperti akibat banjir juga memaksa peniaga menaikkan harga barangan yang berkaitan. Bagi menangani kerugian ditanggung, peniaga akan mengenakan harga yang tinggi.

Dalam aspek kelemahan rantaian bekalan pula, ia disebabkan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan termasuk kelemahan struktur rantaian bekalan seperti ketidakcekapan serta monopoli dalam pengeluaran dan pengedaran oleh sesetengah pihak. Di samping itu, kenaikan harga barang juga disebabkan kebergantungan kepada barangan makanan diimport. Realitinya, Malaysia banyak bergantung kepada barangan makanan import seperti bawang ros merah dari India dan kobis Beijing dari China. Bekalan dan harga barangan berkenaan dipengaruhi oleh negara pengeluar. Jika berlaku perubahan iklim atau sekatan eksport, ia akan mempengaruhi harga dan bekalannya untuk pasaran Malaysia.

S: Apakah strategi kementerian bagi menangani isu kenaikan harga barang supaya ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah?

J: Pada tahun ini, kementerian akan meningkatkan langkah bagi memastikan tiada kegiatan pengambilan keuntungan secara berlebihan atau kenaikan harga berbentuk artificial. Peniaga yang didapati menaikkan harga akan diberi notis tunjuk sebab untuk menjelaskan kenaikan itu. Mereka yang gagal memberikan maklum balas ke atas kenaikan itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kementerian juga mengambil langkah berhubung terus dengan pihak industri terutama pengilang dan peniaga agar dapat memantau secara langsung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Kerajaan juga mengawal harga barangan keperluan sempena Tahun Baru Cina akan datang dengan melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2014. Skim Kawalan Harga Musim Perayaan ini akan terus dilaksanakan sebagai langkah mengawal kenaikan harga barang keperluan semasa permintaan meningkat menjelang musim perayaan. Kementerian saya juga memantau pergerakan harga di pasaran dan menjalankan penguatkuasaan undang-undang jika didapati berlakunya kenaikan harga tidak munasabah.

S: Kerajaan mengumumkan akan terus mengkaji langkah baru untuk menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan bebanan rakyat. Bagaimana kementerian Datuk dapat membantu kerajaan dalam hal ini?

J: Dari aspek penguatkuasaan, kementerian saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang melanggar perundangan dan tidak mematuhi arahan. Mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan pengambilan untung secara berlebihan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 tanpa sebarang amaran. Kita serius dan akan memastikan peniaga yang tidak beretika dihadapkan ke mahkamah jika didapati sengaja menaikkan harga tanpa sebab munasabah.

Sepanjang 2013, sebanyak 1,937,015 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara ke atas semua peringkat perniagaan. Hasil pemeriksaan proaktif ini dan aduan pengguna, tindakan kes yang diambil adalah sebanyak 8,705 dengan jumlah rampasan bernilai RM34.098 juta. Keseluruhan nilai kompaun pula ialah sebanyak RM527,011. Kes berkenaan adalah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

S: Dapat diperhatikan yang kenaikan harga barang ini menjadi senjata politik parti pembangkang untuk menghentam dan menuduh kerajaan sebagai tidak membela nasib rakyat. Apakah langkah kawalan yang diambil?

J: Memandangkan trend kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terus berlaku dalam jangka masa pendek dan panjang, KPDNKK menggariskan beberapa langkah untuk menangani isu ini antaranya akan mempergiatkan penguatkuasaan termasuk mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan berkaitan harga mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan terhadap aktiviti pencatutan dan penetapan harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan. Tindakan penguatkuasaan juga dilaksanakan melalui operasi pemeriksaan dan pemantauan aktif serta menyeluruh ke atas pembekal, pengedar, pengimport, pemborong serta peruncit di kawasan bandar dan luar bandar. Ia termasuk melaksanakan Ops Harga di premis perniagaan secara menyeluruh. Pemeriksaan merangkumi semua barangan keperluan terutama barangan kawalan, barangan makanan, barangan kegunaan rumah, makanan sedia masak dan minuman. Operasi ini dilakukan secara bersama dengan agensi lain yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan untuk penguatkuasaan yang lebih berkesan dan bersepadu.

Kementerian saya juga mengambil tindakan ke atas aktiviti yang bersifat antipersaingan melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Selain itu, kita berusaha untuk menambah baik jaringan pengedaran. Dalam usaha meningkatkan persaingan dalam pemasaran barangan, koperasi terutama yang besar dikenal pasti boleh memainkan peranan pelengkap untuk bertindak sebagai pengedar barangan keperluan utama pengguna sama ada melalui saluran pengedaran kedai koperasi sedia ada dan mewujudkan saluran baru. Sementara itu, hypermarket dan supermarket akan diminta memainkan peranan lebih besar dengan meningkatkan penyertaan di kawasan penempatan baru terutama di Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga perlu menimbang membuka pasaran kepada kemasukan jenama hypermarket yang baru bagi meningkatkan lagi persaingan.

Kementerian saya juga berharap pihak korporat membantu meminimumkan kesan kenaikan harga barang. Antaranya dengan memperbanyakkan jualan murah dan pesta jualan secara berkala bagi produk asas rakyat serta menggalakkan pihak industri menyertai Price Watch yang diwujudkan di kementerian. Kementerian juga dipertanggungjawabkan melaksanakan program di bawah NKRA Kos Sara Hidup. Hingga kini empat program NKRA Kos Sara Hidup di bawah seliaan KPDNKK dilaksanakan iaitu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) dan Kedai Optikal Rakyat 1Malaysia (KOR1M).

S: Bagaimana dengan peranan gerakan kepenggunaan?

J: Kita mahu gerakan kepenggunaan lebih agresif bagi meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan masyarakat. Kementerian akan bekerjasama lebih rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan dan Pasukan Khas Skuad Pengguna, yang terdiri daripada Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia (MACFEA), PERDASAMA, CUEPACS serta badan sukarelawan yang dirasakan bersesuaian memainkan peranan membantu kerajaan menyebarkan maklumat termasuk dalam meningkatkan kesedaran pengguna.

S: Kementerian mempunyai beberapa undang-undang baru yang diluluskan Parlimen, antaranya undang-undang mengawal amalan kartel atau monopoli. Tidakkah undang-undang ini boleh dikuatkuasakan untuk mengawal kenaikan harga barangan?

J: Melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan harga barangan keperluan harian sentiasa dipantau dan sebarang peningkatan harga yang tidak munasabah boleh diambil tindakan undang-undang seperti denda. Akta Persaingan diwujudkan untuk menggalakkan persaingan di antara semua pihak dalam bidang sama. Melalui akta ini, sebarang aktiviti atau amalan kartel dan monopoli sesuatu bidang atau produk boleh diambil tindakan undang-undang.

S: Apakah pesanan Datuk kepada orang ramai berhubung isu kenaikan harga barangan ini dan apakah langkah wajar perlu mereka lakukan?


J: Pengguna dinasihatkan agar membuat perbandingan harga sebelum membuat keputusan membeli. Jadilah pengguna bijak kerana kuasa sebenarnya di tangan pengguna. Dalam pada itu, pengguna hendaklah sentiasa peka dan membantu menyalurkan aduan kepada Kementerian. Buatlah aduan kepada kami. Jika berhadapan masalah peniaga menaikkan harga sesuka hati atau tidak meletakkan tanda harga, mereka boleh membuat aduan kepada kementerian.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...