Tuesday, February 4, 2014

1135) UTUSAN MALAYSIA 27/1/2014 CADANGAN BERI SISTEM SOLAR KEPADA RAKYAT DISAMBUT BAIK



KUALA LUMPUR 27 Jan. - Saranan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad supaya sistem solar diberikan kepada rakyat disifatkan amat baik kerana membolehkan lebih ramai rakyat melibatkan diri dalam penjanaan ekonomi setempat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dengan adanya skim seperti Solar Rakyat 1Malaysia (SR1M), rakyat biasa mampu memiliki sistem solar kerana harga teknologi dari Eropah itu amat mahal.

“Saya amat bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Johor Bahru itu. Namun kerajaan juga perlu melihat dari sudut untuk mewujudkan pembekal elektrik kedua, selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya ada persaingan.

“Kerajaan juga boleh mencari alternatif teknologi solar dari China sekiranya teknologi dari Eropah mahal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kata aluannya semasa perasmian Pejabat UMNO Bahagian Johor Bahru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Shahrir mencadangkan peruntukan Feed-in Tariff (FIT) diberikan kepada rakyat setempat agar program tersebut boleh dimanfaat oleh orang ramai.

Beliau berkata, premis yang dipasang sistem solar boleh menjana pendapatan berterusan selama 20 tahun iaitu tempoh sistem solar bertahan, menerusi penjualan tenaga berlebihan kepada TNB.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran merasakan cadangan tersebut tidak sesuai dilaksanakan kerana harga panel solar yang amat mahal disebabkan proses pencatutan di Amerika Syarikat dan Eropah.


Di samping itu katanya, apabila tamat tempoh, panel solar menjadi sisa terjadual dan perlu diuruskan mengikut prosedur tertentu yang melibatkan kos yang tinggi kerana mengandungi bahan radioaktif.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...