Monday, February 10, 2014

1145) METRO AHAD 9/2/2014 IBARAT LINTAH DARAT



Headline: Ibarat lintah darat
Publication: MA
Date of publication: Feb 9, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 034
Byline / Author: Oleh Aniza Zainudin


"Perbuatan menyusahkan masyarakat oleh syarikat gores dan menang boleh disifatkan sebagai lintah darat," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro bertajuk `Paksa Gores RM1J' bertarikh 12 Mac 2005.

Laporan berkenaan memaparkan aduan dan situasi dialami orang ramai yang juga pelanggan di beberapa pasar raya di Petaling Jaya, Selangor dipaksa jurujual supaya menggores kad bertuah menawarkan hadiah bernilai RM1 juta.

Pelanggan diserbu seramai 20 jurujual lelaki mahupun wanita di tempat letak kereta menjadi sasaran sebaik selesai membeli belah, sekitar 4 petang hingga 9 malam.

Menurut Nadzim, sindiket gores dan menang yang bertapak di negara ini sejak 30 tahun lalu, berjaya membina rangkaian tersendiri.

"Kes ini sudah lama menjadi masalah masyarakat, tetapi menyedihkan apabila negara berdaulat ini gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

"PPIM menerima sekurang-kurang lapan hingga 10 aduan kes gores dan menang sebulan. Mungkin ramai lagi mangsa di luar sana tetapi malu untuk membuat aduan.

"Kehidupan rakyat tersepit, namun penjenayah yang berselindung di sebalik undang-undang pula mengaut keuntungan atas `kepercayaan' mangsa," katanya ketika dihubungi.

Kata Nadzim, janji manis ditaburkan jurujual seperti memenangi hadiah lumayan, termasuk kereta, segelintir individu terus mempercayainya, malah ada juga membuat pinjaman bank semata-mata menyertai sindiket berkenaan.

Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil dan penubuhan pasukan khas gabungan lapan agensi yang ditubuhkan baru-baru ini dapat bertindak secara efektif.

Fakta

* Modus operandi mendekati pelanggan pasar raya di tempat letak kereta untuk menyertai peraduan kad bertuah kononnya menawarkan hadiah segera bernilai hingga RM1 juta

* Pelanggan yang selesai membelibelah dihampiri lebih 20 lelaki dan wanita dipercayai jurujual

* Ramai pelanggan membuat aduan kepada pihak pengurusan pasar raya tetapi tidak berkuasa menahan mereka

* Jumlah ulat gores dan menang ini bertambah menjelang hujung minggu


* Selepas menerima aduan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah syarikat peraduan gores dan menang di Subang Jaya

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...