Friday, February 28, 2014

1177) UTUSAN MALAYSIA 27/2/2014 ISU PELEKAT HOLOGRAM KE KABINET




AHMAD Zahid Hamidi bersama Mohamad Khalid Shariff (kanan) menunjukkan al-Quran yang telah ditampal dengan pelekat hologram kepada pihak media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 27 Feb. - Penggunaan pelekat hologram pada naskhah al-Quran yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Mac ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil selepas mendapat pandangan dan rayuan daripada Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) yang meminta penguatkuasaannya dikaji semula.

"Kita telah maklumkan kepada pihak persatuan untuk membawa perkara ini kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan pandangan mereka dan mendapatkan keputusan muktamad bagi menyelesaikan masalah ini.

"Penguatkuasaan tidak akan ditangguhkan tetapi dilembutkan pendekatannya dan sebelum Kabinet membuat keputusan, kita juga akan perlahankan penguatkuasaannya di mana pihak di Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan persatuan mengambil pendekatan kebijaksanaan serta ketertiban menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama PQM di pejabatnya di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Presiden Penaja PQM, Sabariah Abdullah.

Penggunaan pelekat hologram yang diperkenalkan sejak 2011, mewajibkan penerbit atau pencetak al-Quran melekatkannya (dijual pada harga RM1 sekeping) pada setiap naskhah kitab suci itu.

Namun, PQM meminta kerajaan memansuhkan penguatkuasaan pelekat tersebut pada naskhah al-Quran kerana dikatakan membeban dan menyebabkan harga kitab suci itu meningkat sehingga 50 peratus.

Menurut Ahmad Zahid, sehingga kini pihaknya telah mengeluarkan sejuta keping pelekat itu dengan 347,000 keping telah dijual.

Beliau berkata, perkara tersebut juga akan dibincangkan dalam Kabinet bagi melihat kos yang telah dikeluarkan kerajaan untuk mencetak pelekat itu dari segi perundangan, perakaunan dan implikasinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk melekatkan hologram dalam al-Quran selepas menerima rungutan daripada para penerbit kitab suci umat Islam itu ekoran terdapat naskhah yang diimport mempunyai kesalahan pencetakan dan dicetak rompak.

"Pertemuan ini diharap dapat membantu kita mencari jalan penyelesaian terbaik dan menang-menang berdasarkan pengalaman beberapa kementerian, jabatan dan unit yang menguatkuasakan sebarang bahan dikeluarkan dengan meletakkan tanda hologram,'' katanya.


Sementara itu, Sabariah ketika ditemui, berterima kasih dengan keputusan tersebut dan berharap kerajaan dapat membuat keputusan yang adil dan menang-menang demi kebaikan semua pihak.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...