Saturday, January 17, 2015

2390) UTUSAN MALAYSIA - 17/01/2015 - Sokong Ketegasan KPN



NGO Islam sokong tindakan tegas PDRM terhadap Eric Paulsen


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini tampil di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini bagi menyokong tindakan tegas yang diambil terhadap Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen. 

Pertubuhan Pribumi Melayu Perkasa (Perkasa) antara NGO-NGO yang tampil menyerahkan Memorandum Menyokong Tindakan Tegas Ketua Polis Negara dan PDRM Terhadap Penghina Agama Islam di sini selepas solat Jumaat tengah hari ini.

Memorandum yang diserahkan kepada Urusetia Komunikasi Korporat PDRM, DSP Anwal Ab Wahab itu antara lain meminta agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak terlepas pandang terhadap kumpulan lain yang turut menghina Islam.

Ahli Dewan Tertinggi Perkasa, Datuk Salleh Ismail berkata, banyak laporan polis yang dibuat terhadap kumpulan berkenaan tidak diambil tindakan.

"Perkasa bimbang jika mereka-mereka yang menghina kesucian Islam tidak diambil tindakan yang tegas, ini akan menyebabkan pihak lain yang tidak dapat mengawal kemarahan untuk mengambil tindakan sendiri. 

"Kami melihat penghinaan agama Islam berlaku secara berterusan sejak 2008 dari kejadian melempar daging dan kepala khinzir sehingga insiden terbaharu melibatkan Eric Paulsen," kata Salleh.

Menurut Salleh, Perkasa mengalu-alukan Ketua Polis Negara dan PDRM menggunakan Akta Hasutan 1948 sebagai satu-satunya mekanisme yang ada untuk menyekat perbuatan menghina agama Islam di negara ini.

PDRM telah pun menahan Eric di pejabatnya, di Brickfield kira-kira pukul 9.45 malam ini pada 12 Januari lalu dan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948. 

Eric ditahan bagi siasatan terhadap kenyataan beliau di Twitter yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric kemudiannya dibebaskan pada 4.30 petang pada 14 Januari selepas direman dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. - UTUSAN ONLINE


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...