Menurut Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, individu yang telah dimufliskan kini seakan menerima hukuman penjara seumur hidup berikutan akta sedia ada yang dilihat tidak berlaku adil terhadap mereka.

Justeru, katanya, akta baharu harus dirombak dan dinilai semula seberapa segera sesuai dengan keadaan semasa dengan menyediakan pelepasan secara automatik kepada penjamin sosial serta individu yang menjadi mangsa penipuan.

“Beberapa kelemahan di dalam akta sedia ada telah menyebabkan ramai menderita sehinggakan ada keluarga yang terus kehilangan tempat berteduh akibat rumah dilelong padahal mereka teraniaya. Ada juga yang dipenjara gara-gara hutang yang telah dibayar itu kurang RM50 sahaja. Takkan tidak ada langsung perikemanusiaan.

“Kita juga kesal apabila wujud situasi mahkamah tetap mengisytiharkan seseorang itu muflis tanpa merujuk siasatan polis terlebih dahulu dan adanya pihak ketiga yang ingin membantu membayarkan hutang individu muflis tetapi tidak dibenarkan Jabatan Insolvensi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pegawai Kerja PPIM, 
Datuk Mohd. Mustaffa Hamzah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya berhasrat mengadakan pertemuan segera dengan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Haslina Mansor bagi memperjelaskan keraguan mengenai beberapa isu kebankrapan yang semakin me­runcing.

“Kita berharap agar perjumpaan dapat dibuat untuk melihat semula inisiatif yang telah dijalankan bagi memastikan penimbangtara yang lebih relevan digunakan kepada lebih 300,000 individu muflis di negara ini,” katanya.