Tuesday, January 6, 2015

2321) BERNAMA - 04/01/2015 - Pendidikan Mencintai Alam Sekitar Perlu Diperkasa Atasi Masalah Banjir - NGO

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Usah menunding jari dan perbaiki disiplin diri agar menjadi insan yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar adalah antara intipati menarik di rancangan 'Landskap' di TV1 malam ini.
 

Dua tetamu khas diundang dalam rancangan itu yang memfokuskan isu banjir iaitu Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
 

Mereka menyentuh faktor disiplin anggota masyarakat menjaga alam sekitar memainkan peranan penting mengatasi masalah banjir.
 

Banjir teruk melanda sembilan negeri khusus di Kelantan dikaitkan dengan aktiviti pembalakan yang melampau yang menjadi penyebab bencana menjadi lebih teruk.
 

Ahmad berkata pihaknya telah menjalankan pelbagai inisiatif terutama dalam mendidik masyarakat untuk mencintai alam.
 

Katanya pendidikan seperti itu perlu diterap kepada masyarakat kerana bencana yang melanda perlu menjadi tanggungjawab bersama.
 

"Kami banyak mengadakan aktiviti dalam mendidik masyarakat. Kita mendidik kanak-kanak sehingga golongan eksekutif. Kalau mereka menghayati pengetahuan yang kita berikan kepada mereka, mereka akan laksanakannya," katanya.
 

Sementara itu Nadzim berkata institusi keluarga telah gagal mendidik anak-anak untuk menjaga alam sekitar.
 

Beliau berkata disamping pendidikan menjaga alam sekitar, pendidikan daripada keluarga juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan semangat cintakan alam.
 

"Rasa tanggungjawab kena ada. Sebab bila kita berdisiplin, kita tidak akan buat perkara-perkara yang terlarang, maka masalah alam sekitar tidak akan timbul," katanya.
-- BERNAMA 



Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1097839

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...