Tuesday, January 20, 2015

2412) RAKYAT NEWS - 08/01/2015 - PEMBELA : 'Adakah Peguam Negara Akui Melayu Kaum Pendatang?'

KUALA LUMPUR, 8 Jan - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) hari ini mendesak pejabat Peguam Negara mengemukakan alasan mengapa kes ahli parti Gerakan Johor, Tan Lai Soon yang mengatakan Melayu pendatang tidak diteruskan.

Timbalan Pengerusinya, Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata, Peguam Negara perlu memberi alasan sewajarnya kerana keputusan ini telah menimbulkan kegelisahan dan keresahan terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

“Adakah dengan keputusan tersebut memberi makna pihak Peguam Negara menerima Melayu itu adalah pendatang walaupun sejarah membuktikan sebaliknya?

“Adakah keputusan yang sama juga akan diambil jika ada pihak yang mengatakan orang Cina pendatang?

“Jika ia dibenarkan, tidakkah akan menimbulkan huru-hara dan perpecahan kaum?” soalnya memetik laporan laman portalISMAweb dalam satu sidang media di ibu pejabat Pertubuhan Muafakat Sejahtera Rakyat Malaysia (MUAFAKAT) pagi tadi.

Sebelum ini, portal tersebut mendedahkan surat yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia yang memaklumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya pada 8 Disember 2014 telah memutuskan kes Tan Lai Soon tidak diteruskan.

Ujar Haji Aminuddin, jawapan yang diberikan ringkas tanpa sebarang penjelasan dan alasan.

“Kita tidak mahu wujud pendakwaan terpilih dalam kes-kes sebegini.

“Sebab itu kita mahu jawapan dan alasan yang kukuh daripada pihak Peguam Negara,” katanya kepada pemberita.

Dalam majlis sama, Ketua Aktivis Persatuan Pegguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Nadzim Johan berkata, pejabat Peguam Negara perlu memberi keadilan untuk semua pihak.

“Kes sebegini jika tidak ditangani dengan baik boleh memberi tanggapan negatif dan merosakkan perhubungan kaum di negara ini.

“Ini kerana jika dilihat ada sahaja kes lain seperti ini yang dikenakan tindakan, tetapi kes ini tidak pula diambil tindakan,” ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media ini ialah Presiden Muafakat, Ustaz Haji Ismail Mina dan Setiausaha Agung JATI, Mohammad Nor Azman Mohamad Arif.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...