Friday, January 16, 2015

2378) THE RAKYAT POST - 16/01/2015 - Awas, Pelaburan Emas Hanya Satu Tipu Daya

Perkara itu telah diketahui Bank Negara namun mengambil masa untuk bertindak terhadap syarikat berkenaan kerana kebanyakannya menjalankan perniagaan di luar negara.


KUALA LUMPUR, 16 Januari:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan 30 peratus daripada 182 senarai syarikat yang meragukan di Bank Negara terdiri daripada syarikat pelaburan emas.
Malah lebih membimbangkan, urusan transaksi pelaburan emas membabitkan dana jutaan ringgit.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam pelaburan emas.
“Kebanyakan syarikat yang terlibat dalam penipuan itu sudah disenaraikan sebagai syarikat yang meragukan oleh Bank Negara namun masih terdapat pihak yang senang terpedaya.
“Mangsa terdiri daripada pelbagai golongan termasuk orang kampung yang sanggup menggadai tanah untuk melaburkannya di syarikat pelaburan emas ekoran terpedaya dengan pengelola syarikat pelaburan emas yang berjanji untuk mendapatkan pulangan besar,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, mangsa yang terpedaya juga tersepit untuk membuat laporan polis kerana mendapat ugutan daripada pengelola syarikat itu yang kebanyakannya mempunyai kumpulan samseng.
Katanya, perkara itu telah diketahui Bank Negara namun mengambil masa untuk bertindak terhadap syarikat berkenaan kerana kebanyakannya menjalankan perniagaan di luar negara.
“Sebelum Bank Negara menyita syarikat berkenaan, pihak bank perlu mengumpul maklumat terlebih dahulu dan sekiranya sudah disita, Bank Negara tidak boleh memulangkan wang kepada pelabur,” katanya.
Pegawai Kerja PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah berkata, kebanyakan syarikat pelaburan emas mempunyai peguam hebat sehinggakan Bank Negara juga tidak boleh melawan mereka.
“Syarikat pelaburan emas ini juga akan menggunakan kereta mewah untuk menarik perhatian orang ramai untuk melabur di bawahnya.
“Seterusnya mereka mengumpulkan emas dan hantar ke luar negara kononnya untuk dilaburkan bagi mendapatkan keuntungan,” katanya.
Antara syarikat pelaburan emas yang tersenarai dalam syaraikat meragukan ialah Pegasus Bullian Sdn Bhd, FGT, Darul Emas Perak Bhd, VGMC, Ibnu Idris Gold Resources dan Khazanah Bangsa.
PPIM menegaskan hanya wujud perniagaan jual beli emas tetapi pelaburan emas tidak pernah wujud dan hanya satu tipu daya.
Masyarakat diseru agar membuat semakan dengan Bank Negara terlebih dahulu sebelum terlibat dalam mana-mana pelaburan.


Sumber : http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/16/awas-pelaburan-emas-hanya-satu-tipu-daya/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...