Tuesday, January 6, 2015

2322) BERNAMA - 04/01/2015 - Pengguna Harus Segera Buat Aduan Peniaga Tidak Bertanggungjawab - Aktivis Pengguna

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Pengguna perlu segera membuat aduan berserta bukti kukuh mengenai harga makanan yang dijual mahal untuk menangani peniaga yang mengambil kesempatan daripada bencana banjir yang melanda negara, baru-baru ini.
 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCC) Muhammad Shaani Abdullah berkata pengalaman seorang wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang terpaksa membayar RM23 untuk sepinggan nasi berlaukan ikan kembung goreng, sayur kacang panjang dan segelas air teh panas harus diambil iktibar oleh semua pihak, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).
 

Dalam laporan berita Bernama pada 1 Jan lepas, wartawan berkenaan Zabidi Ishar terkejut apabila perlu membayar harga makanan hampir lima kali ganda daripada harga biasa iaitu sekitar RM5, selepas mengalas perut di sebuah kedai makan di Tanah Merah, Kelantan.
 

Menurut Zabidi, peniaga itu memohon maaf kepadanya dan memberi alasan kesukaran mendapatkan bahan mentah dan terpaksa ke Kota Baharu, yang terletak kira-kira 70 km dari Tanah Merah, untuk mendapatkan bekalan.
 

Muhammad Shaani berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan kejadian menjual makanan dengan harga yang melampau tidak berulang pada masa depan khususnya ketika seluruh negara dilanda bencana banjir.
 

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu bertindak proaktif dalam menangani peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan dan barangan harian sekarang.
 

"Sekiranya perlu, anggota KPDNKK perlu melakukan penyamaran bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga sesuka hati dan secara tidak langsung membuli pengguna," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata KPDNKK perlu bertindak tegas dan bertindak secara proaktif dan tidak hanya menunggu aduan daripada pengguna.
 

"Apa yang berlaku sekarang ialah orang ramai termasuk penguat kuasa pihak berkuasa tempatan sedang sibuk kerana bencana banjir sehingga penjualan harga makanan dan barangan harian tidak dikawal menyebabkan peniaga mengambil 'peluang keemasan' mencari keuntungan segera," katanya.
 

Justeru, semua pihak perlu peka dengan keadaan sekeliling dan membuat tindakan sewajarnya agar golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab ini tidak 'membuli' pengguna dengan meletakkan harga yang melampau.
-- BERNAMA 



Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1097968

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...