Friday, January 23, 2015

2435) SINAR HARIAN - 22/01/2015 - Penjawat Awam Kena Tipu: Cuepacs Akan Temui PM

Azih (kiri) menunjukkan laporan yang diterima mengenai kes penipuan melibatkan kakitangan awam. - Foto Sinar Harian
Azih (kiri) menunjukkan laporan yang diterima mengenai kes penipuan melibatkan kakitangan awam. - Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda  akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kes penipuan yang melibatkan kakitangan awam berjumlah RM45 juta.
Azih berkata, penipuan RM45 juta itu melibatkan pembelian rumah sebanyak 477 unit oleh kakitangan awam di Kelantan.
"Setiap  pengguna harus berhati-hati untuk mengelakkan diri daripada ditipu. Paling mengecewakan, penipuan melibatkan projek perumahan.
"Projek  ini ada 477 unit rumah yang dibina pada tahun 2011 di mana pembelinya 100 peratus kakitangan kerajaan. Tetapi hari ini (2015), baru nak naik tiang sedangkan pembeli sudah bayar 90 peratus.
"Apa akan berlaku kalau semua tempat sama seperti ini? Gaji dipotong tapi rumah tidak boleh duduk.
"RM45 juta sudah dibayar, syarikat entah ke mana,  dia bawa lari... Untuk itu,  In Sya ALLAH saya akan jumpa PM untuk bincang perkara ini.
"Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera. Takkanlah hendak bayar sampai mati sedangkan rumah tidak boleh duduk," katanya ketika sidang media tahun 2015 "Tahun Perangi Penipuan" di Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Jelas beliau unit yang terbengkalai itu melibatkan 12 lokasi di seluruh Kelantan. 
Oleh itu beliau berharap kerajaan mengambil perhatian mengenai perkara ini.
"Sepatutnya  kerajaan ambil peranan, takut masyarakat hilang keyakinan, kita minta bantulah mereka.
"Kalau tidak dibantu makin bermaharajalelalah 'penipu' itu," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya telah berjaya menyelesaikan satu kes rumah terbengkalai di Sarawak selepas campur tangan pihaknya dan kerajaan.
"Kita sudah selesaikan kes sama baru-baru ini di Sarawak. Alhamdulillah syarikat perumahan negara sudah siapkan," katanya lagi. 


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...