Tuesday, January 20, 2015

2416) RAKYAT NEWS - 17/01/2015 - 197 Syarikat Pelaburan Tidak Diiktiraf

Rakyat News
KUALA LUMPUR 16 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenal pasti sebanyak 197 syarikat pelaburan menjalankan aktiviti perniagaan tidak diiktiraf dengan 30 peratus daripadanya menggunakan kaedah skim pelaburan emas.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan perbincangan dengan pihak BNM semalam, semua syarikat yang diragui tersebut dipercayai telah menipu pelanggan membabitkan ratusan juta ringgit tetapi masih aktif sehingga kini.

“Berdasarkan aduan yang kami terima, kebanyakan syarikat pelaburan ini menggunakan tiga cara bagi menjayakan modus operandi mereka iaitu menjual barangan berdasarkan kadar tertentu yang berbeza dengan harga di pasaran, membeli barangan daripada pelanggan secara ansuran dengan harga tinggi tetapi dibayar secara berperingkat-peringkat dan menjual barangan mengikut tempoh tertentu.

“Ketiga-tiga cara ini menawarkan kaedah menguntungkan bagi menarik perhatian pelanggan tetapi jika diteliti, terdapat beberapa keraguan yang sebenarnya menipu wang mereka, sebagai contoh pelanggan dijanjikan keuntungan beberapa peratus tetapi perlu melabur terlebih dahulu dan menerima barangan pada tarikh ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini,semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Biro Pendidikan PPIM, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari dan Pegawai Kerja PPIM, Mohd. Mustaffa Hamzah.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, masalah akan timbul apabila tiba tarikh dijanjikan untuk pelanggan menuntut keuntungan tetapi ejen gagal memberi imbuhan tersebut dan lebih menyedihkan wang pelaburan lesap begitu sahaja.

Katanya, dalam hal ini, ejen berhadapan dengan risiko paling besar, malah boleh didakwa di bawah Akta Pengambilan Deposit Awam Tanpa Lesen kerana pelanggan akan mencari dan menuntut wang daripada mereka sedangkan kesemua wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun pengelola syarikat.

“Kerajaan perlu mencari kaedah tertentu yang lebih cepat untuk menyelesaikan masalah penipuan ke­rana siasatan dijalankan selama ini mengambil masa agak lama hingga ada antaranya tujuh bulan baharu berjaya diselesaikan.

“Dalam masa sama, orang ramai dinasihati supaya mendapatkan maklumat perniagaan daripada agensi yang diiktiraf sebelum membuat sebarang pelaburan ke­rana bimbang menjadi mangsa skim yang menipu,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...