Tuesday, January 6, 2015

2327) ARKIB BERITA - SINAR - 30/12/2014 - Wujudkan Pusat - Pusat Penempatan Bencana Yang Kekal

KUALA LUMPUR - Seorang ahli akademik menyarankan supaya kerajaan mewujudkan pusat-pusat penempatan bencana yang kekal bagi memastikan kecekapan pengurusan dan bantuan bencana di negara ini.

Selain menjadi pusat pemindahan mangsa bencana, pusat-pusat kekal itu boleh mengurangkan risiko kematian di kalangan mangsa dan mengelakkan berlakunya terputus bekalan keperluan asas dan sistem komunikasi.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata perkara itu wajar dipertimbangkan kerajaan bagi memastikan proses penyaluran bantuan bencana menjadi lebih berpusat dan berkesan.
Pusat penempatan bencana yang disaran diwujudkan di setiap daerah itu, katanya, perlu dilengkapi dengan semua kemudahan seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, elektrik, sistem komunikasi dan tempat tidur serta pegawai kaunseling bagi memastikan kebajikan mangsa bencana, sama ada dari segi fizikal mahupun mental, sentiasa diutamakan.

"Kita perlu ingat, bencana juga berlaku di seluruh dunia akibat perubahan iklim dan adalah perlu untuk kita mempunyai persiapan yang lebih rapi pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dr Mohamed Mustafa berkata pusat berkenaan juga wajar mencontohi penetapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti mana yang dilaksanakan ketika pilihan raya, bagi memudahkan mereka yang terlibat menuju ke lokasi itu apabila berlakunya sesuatu bencana.

"Pusat penempatan bencana ini sama seperti PDM, yang kalau berlaku bencana orang tahu mana nak pergi. Kerajaan patut sudah mula berfikir berkenaan perkara ini seperti mana yang telah dilaksanakan di negara maju seperti Jepun," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan wajar mencontohi negara maju dalam aspek persiapan dan pengurusan bencana.

Beliau berkata aspek pengurusan bencana khususnya dalam soal penyaluran bantuan ketika banjir yang melanda beberapa buah negeri pada masa ini belum lagi di tahap yang memuaskan.

"Contohnya semalam apabila PPIM cuba hantar bantuan kepada mangsa banjir di Jerantut, Pahang, ia mengambil masa lapan jam untuk wakil rakyat di kawasan itu keluar mengambil bantuan. Ini satu yang saya rasa tidak efisien kerana ia mengambil masa yang agak lama," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas dilaporberkata Malaysia perlu lebih banyak mempelajari sistem pengurusan bencana negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan yang diketahui mempunyai sistem pengurusan bencana antara yang terbaik di dunia.

Mohamed Mustafa dan Nadzim bagaimanapun memuji usaha yang dilaksanakan kerajaan pada masa ini dalam mengendalikan bencana banjir, termasuk mengerah sejumlah 5,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri bersama sejumlah aset daripada ketiga-tiga cabang
perkhidmatan ATM iaitu darat, udara dan laut.

Kesungguhan kerajaan dalam memastikan semua mangsa yang terjejas banjir diberikan bantuan segera dizahirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lepas, yang mengarahkan supaya semua menteri kabinet kembali segera bertugas bagi membantu pengurusan krisis banjir.

Komitmen serupa turut dizahirkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang membatalkan kelulusan cuti rehat untuk semua ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta.

Najib dan Muhyiddin serta menteri-menteri Kabinet pada ketika ini sibuk dengan siri tinjauan di pusat-pusat penempatan mangsa banjir di beberapa negeri yang teruk dilanda banjir termasuk Kelantan, Perak, Terengganu dan Pahang bagi melihat kawasan yang terjejas dan mendengar sendiri rintihan mereka.

Kehadiran dan keprihatinan kedua-dua pemimpin negara itu melawat pusat-pusat penempatan telah menceriakan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Sehingga tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor adalah 242,046 orang.

Banjir kali ini juga turut mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang lagi masih hilang. - Bernama


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...